'Adabnya yang mahal'

'Adabnya yang mahal'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tak apa abang… saya bayar sebab abang buat kerja.” Itu kata remaja Tingkatan Tiga yang membuatkan pemandu e-hailing, Dr Khairul Baqir AlKhair Khairul Amin, 35, terkesima kerana remaja itu menolak tawaran tambang percuma ke destinasi dituju.

Menceritakan kisah itu, Khairul Baqir AlKhair atau mesra disapa Khairul berkata, dia bertemu dengan remaja dikenali Muhd Aniq kira-kira jam 3 petang semalam selepas remaja itu membuat tempahan e-hailing.

Kebiasaannya, Khairul lebih memilih tempahan dengan kadar tinggi pada waktu berkenaan kerana lebih berbaloi memandangkan ia adalah tempoh puncak.

Bagaimanapun, Khairul menerima pesanan itu kerana kebetulan dalam perjalanan pulang dan destinasi dituju iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sentosa tidak jauh dengan rumahnya di Sungai Besi, dekat sini.

“Setibanya di tempat mengambil penumpang iaitu dekat Pasar Tani Jalan Klang Lama, saya nampak dua lelaki, salah seorangnya dewasa.

“Saya ingatkan lelaki dewasa itu penumpang saya tapi rupanya (Muhd) Aniq… hari hujan dan dia berlari kemudian terus masuk dan duduk di sebelah saya.

“Tubuhnya kecil macam budak sekolah rendah tapi Aniq sudah Tingkatan Tiga serta ke sekolah untuk latihan nasyid. Sampai di sekolah, saya tak ambil tambang kerana hanya RM5 dan sudah berniat nak sedekah.

“Tapi Aniq menolak walaupun saya bersungguh dan kemudian keluarkan duit dari dompetnya serta letakkan di paha saya sebelum beredar,” katanya kepada Harian Metro.

Disebabkan itu, Khairul tidak dapat menolak namun apa yang membuatkannya kagum adalah kematangan serta empati yang ada dalam diri Muhd Aniq walaupun masih muda.

Lantaran itu, Khairul terpanggil untuk berkongsi kisah itu menerusi perkongsian video di TikTok petang semalam dan niat lainnya adalah menjejaki Muhd Aniq.

“Ikutkan saya sudah lama tak muat naik video di TikTok tapi nak berkongsi kisah Aniq semalam kerana kagum dengan sikapnya yang sangat beradab.

“Sejak mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing empat tahun lalu, saya selalu berurusan dengan penumpang Gen Z atau yang muda.

“Tapi Aniq berbeza dan dalam usia yang muda, dia sudah faham kepayahan cari rezek, mungkin sebab itu dia menolak tawaran saya dan adabnya yang mahal,” katanya.

Kata Khairul, dia sudah dapat menjejaki Muhd Aniq selepas remaja itu meninggalkan komen dekat hantaran video yang dimuat naiknya di TikTok.

“Saya sudah dapatkan nombor telefon bapa Aniq kerana dia pun masih bawah umur jadi akan berhubung kemudian rancang bertemu dengan mereka nanti.

“Saya teringin sangat berjumpa dengan ibu bapa Aniq kerana nak tahu bagaimana mereka didik dan besarkan Aniq hingga jadi sebegitu.

“Lagipun, saya pun seorang ayah dan ada dua anak jadi mungkin dapat belajar serta ikut cara didikan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top