
Kerajaan akan membawa cadangan menaikkan tambahan 50 liter kuota BUDI95 bagi penghantar makanan (p-hailing) ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Selasa ini. – Foto fail Bernama
JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan membawa cadangan menaikkan tambahan 50 liter kuota BUDI95 bagi penghantar makanan (p-hailing) ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Selasa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemain industri gig itu menyuarakan permohonan tersebut pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Dewan Terbuka, Desa Mutiara Tebrau.
“P-hailing memang ada bertanya. Jadi saya kata dalam mesyuarat Selasa ini saya akan bawa dan bincangkan sebab mereka sekarang dapat 200 liter.
“Jadi saya minta saudara Fahmi (Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil) ingatkan, kita cari jalan sekurang-kurangnya naikkan lagi 50 liter,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Katanya, penambahan kuota bagi fasa berikutnya akan diselesaikan secara berperingkat.
“Nanti bila dah dapat 50 liter, minta tambah 50 liter lagi. Pelan-pelanlah. Mereka tak minta, tapi saya yang tanya.
“Itu bagusnya, ALLAH uji sebab kita pernah susah dulu, jadi kita datang dengar keluhan mereka,” katanya.
Mac lalu, kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.
Anwar memberitahu, keputusan itu diambil susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.



