Keputusan terima MIC sertai PN terbatal, tidak lagi relevan – Takiyuddin

Keputusan terima MIC sertai PN terbatal, tidak lagi relevan – Takiyuddin
Keputusan terima MIC sertai PN terbatal, tidak lagi relevan – Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM – Keputusan menerima MIC sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN) sebelum ini kini tidak lagi relevan dan terbatal susulan ketiadaan pengesahan parti itu menyertai gabungan tersebut.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada Sabtu.

“Sehingga kini, MIC belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN yang dibuat pada 9 Disember 2025 walaupun telah beberapa kali diminta berbuat demikian.

“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, selain kenyataan rasmi MIC bahawa ia tidak pernah membuat permohonan rasmi menyertai PN, maka dengan ini ditetapkan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Mac lepas, Sinar Harian melaporkan MIC belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk parti itu menyertai PN.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin memaklumkan, gabungan itu bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan dukungan struktur dalaman dan sokongan sedia ada termasuk pengalaman berada dalam dan luar kerajaan sebelum serta selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, PN juga terbuka untuk meneroka bentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti dan pihak berkongsi prinsip serta wawasan sama, selain berminat menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya.

Justeru, kongsinya, satu Jawatankuasa Khas yang dianggotai wakil parti-parti dalam PN akan ditubuhkan bagi memperincikan terma dan syarat kerjasama politik tersebut.

“Pendekatan ini dipercayai lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara, selain mendukung kepentingan kerjasama politik konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan hidup rakyat yang kini lebih tertekan tanpa jalan keluar yang meyakinkan.

“Ia juga dilihat membuka ruang kepada semua pihak dan parti untuk terlibat secara aktif dalam proses politik negara secara lebih bermakna dan sihat menerusi sebuah kerjasama politik nasional rasmi, matang dan tertib,” ujarnya lagi.

Scroll to Top