Kuadran negara kembali bernyawa, tempah tiket suku akhir

Kuadran negara kembali bernyawa, tempah tiket suku akhir

KUALA LUMPUR: Dimalukan pada aksi sebelah petang, namun skuad kuadran negara tidak membiarkan episod pahit itu berlarutan apabila bangkit penuh bergaya menundukkan India 2-1 untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Selepas tewas kepada Korea Selatan dalam aksi terdahulu, kemenangan ke atas India menjadi misi wajib buat anak buah Zulkarnain Arif dan mereka menyahut cabaran itu dengan semangat juang tinggi dalam aksi hidup mati Kumpulan C.

Walaupun Malaysia, Korea Selatan dan India masing-masing mengumpul dua kemenangan, skuad negara berjaya meraih tiket ke kelompok lapan terbaik selaku naib juara kumpulan menerusi kelebihan pungutan mata permainan keseluruhan, sekali gus mengiringi India ke suku akhir.

Kuartet negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bagaimanapun bermula longlai apabila gagal mengekang asakan lawan dalam set pertama.

Pertarungan sengit menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak hingga kedudukan terikat 7-7, namun beberapa kesilapan pada aspek hadangan dan ketumpulan penyudah memberi ruang kepada India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh menutup set pertama 15-13.

Kuadran negara kembali bernyawa, tempah tiket suku akhir
Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalri Aiman Halim, Muhammad Fetri Mohd Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi menewaskan skuad India dengan mata 2-1, di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON

Tersentak dengan kekalahan itu, Malaysia mula memperkemaskan corak permainan pada set kedua dengan sorakan padu penyokong menjadi pembakar semangat.

Aksi menjadi semakin mendebarkan apabila kedua-dua pasukan terus berbalas mata sebelum skuad negara memperagakan ketenangan pada detik kritikal untuk meraih kemenangan tipis 17-15 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Momentum kebangkitan itu diteruskan dalam set ketiga apabila Malaysia tampil lebih kemas dan agresif sehingga mendahului jauh 7-1 sebelum menoktahkan kemenangan 15-10.

Ketua pasukan, Amirul Zazwan mengakui tekanan selepas tewas kepada Korea Selatan menjadikan pertemuan menentang India sebagai aksi penentuan buat mereka.

KAPTEN kuadran negara, Amirul Zazwan Amir meraikan kemenangan 2-1 ke atas India dalam aksi terakhir Kumpulan C acara kuadran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON

“Ini memang perlawanan hidup mati untuk kami. Selepas kalah pagi tadi, kami tahu tiada pilihan selain menang.

“Set pertama kami banyak lakukan kesilapan sendiri, tetapi kami bangkit semula pada set kedua dan ketiga. Syukur, kami berjaya dapat kemenangan ini,” katanya.

Malaysia kini bakal berdepan juara Kumpulan B, Filipina dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung esok, dengan harapan untuk meneruskan momentum kebangkitan ke separuh akhir.-UTUSAN

Scroll to Top