PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli menganggap Grand Prix (GP) Catalunya sebagai pengalaman paling berharga dalam kariernya setakat ini meskipun terlepas peluang meraih podium sulung Moto3 pada Ahad.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh selepas mempamerkan aksi kompetitif sepanjang 18 pusingan di Litar Barcelona-Catalunya.
Bermula dari petak ke-10, Hakim Danish pantas memperbaiki kedudukan sebelum berjaya bersaing dalam kelompok hadapan bersama pelumba-pelumba utama lain.
Malah, pelumba kelahiran Terengganu itu beberapa kali berada dalam kelompok tiga terbaik dan hampir mencipta sensasi apabila sempat menghuni kedudukan ketiga menjelang penghujung perlumbaan.
Bagaimanapun, kesilapan kecil semasa pusingan terakhir menyaksikan peluang podium sulungnya lebur selepas sedikit terkeluar daripada garis perlumbaan sebelum dipintas empat pelumba lain.
Hakim Danish berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi dipamerkan selain menganggap perlumbaan tersebut memberi banyak pengajaran penting buat dirinya.
“Hari ini saya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dan saya bermula dengan cukup baik di grid pelepasan.
“Sepanjang perlumbaan, saya cuba mengawal posisi untuk kekal bersaing dalam kelompok hadapan. Beberapa kali juga saya berjaya memintas pelumba di depan,” kata pelumba berusia 18 tahun itu.
Menurutnya, pengalaman bersaing bersama kelompok elit Moto3 banyak membuka ruang pembelajaran terutama dari aspek strategi dan kawalan perlumbaan.
“Saya belajar banyak perkara baharu, terutama cara mereka mengawal perlumbaan dalam kelompok hadapan.
“Selepas ini saya perlu lebih agresif, terutama ketika memintas dan mengekalkan rentak perlumbaan,” katanya.
Hakim Danish turut mengakui sedikit kecewa selepas kesilapan membrek di selekoh ke-10 pada pusingan terakhir menyebabkan impian podium tidak kesampaian.
“Saya hampir menaiki podium, namun malangnya saya terlebih brek di selekoh ke-10 pada pusingan terakhir.
“Tetapi saya anggap GP Catalunya ini sebagai pembelajaran berguna dan saya tidak akan berhenti berusaha untuk mencapai podium satu hari nanti,” katanya.
Prestasi cemerlang Hakim Danish sebenarnya sudah terserlah sejak sesi latihan Jumaat apabila beliau muncul pelumba terpantas menerusi catatan 1 minit 46.943 saat, mengatasi beberapa pelumba tuan rumah termasuk Adrian Fernandez dan David Almansa.
Catatan tersebut sekali gus membolehkan beliau mengesahkan slot automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2), namun sekadar mencatat masa ke-10 terpantas pada sesi kelayakan rasmi.
Dengan tambahan sembilan mata di Catalunya, Hakim Danish kini mengumpul 27 mata keseluruhan selepas enam pusingan dan bakal meneruskan cabaran di GP Itali di Litar Mugello dari 29 hingga 31 Mei depan.



