WABAK Hantavirus yang menyerang kapal persiaran yang berlayar dari Ushuaia, Argentina merentasi kawasan Antartika dan Lautan Atlantik Selatan menuju ke Cape Varde sebelum berlabuh di Kepulauan Canary di Sepanyol baru-baru ini mungkin tidak akan menjadi pandemik baharu, tetapi ia menonjolkan tahap kerentanan manusia terhadap penyakit berjangkit dan kegagalan sistem kapitalisme untuk bersedia menghadapi ancaman seterusnya.
Kebimbangan semakin memuncak apabila kumpulan penumpang MV Hondius mula pulang ke negara asal masing-masing sejak minggu lalu, sekali gus menimbulkan risiko tercetusnya kluster baharu setelah 10 kes disahkan.
Hantavirus biasanya dijangkiti melalui pendedahan kepada najis tikus, namun strain virus Andes yang dikenal pasti merebak di kapal cruise tersebut kadangkala boleh menular daripada manusia kepada manusia.
Walaupun Covid-19 tidak lagi di tahap pandemik, kesannya yang masih berlarutan termasuk kemunculan varian baharu menjadi amaran kepada dunia bahawa ancaman penyakit berjangkit dan kemungkinan tercetusnya pandemik baharu masih belum berakhir.
Namun begitu, pakar kesihatan menegaskan Hantavirus dan Covid-19 merupakan dua penyakit berjangkit yang berbeza.
Menerusi artikel diterbitkan Psychology Today pada Februari 2025, ia menyatakan pandemik pada masa depan sememangnya tidak dapat dihindari dan dunia perlu lebih bersedia menghadapinya.
Artikel itu turut menegaskan bahawa usaha mencegah pandemik memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak dan sokongan kerajaan terhadap penyelidikan awam dan swasta di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, peruntukan kewangan dan penjagaan kesihatan haruslah diberi keutamaan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana lebih berisiko tinggi, menanggung beban penyakit yang lebih besar serta menghadapi ketidaksamaan akses kepada vaksin.
Tindakan negara Barat melengah-lengahkan rundingan perjanjian pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan gagal mencapai kesepakatan menjadi contoh jelas bagaimana dunia sebenarnya belum bersedia untuk menghadapi ancaman wabak baharu.
Difahamkan, perjanjian pandemik global itu sudah pun diluluskan pada 2025, tetapi terdapat beberapa isu penting masih belum selesai dan dijangka hanya dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 2027.
Mampukah masyarakat antarabangsa bertahan sehingga tempoh itu?
Pada 2020, satu laporan oleh Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services pula mendedahkan risiko pandemik berkait rapat dengan kemusnahan alam sekitar.
Ia turut menjelaskan bahawa walaupun Covid-19 berpunca daripada mikrob yang dibawa haiwan, penularannya dipengaruhi oleh aktiviti manusia.
Dianggarkan terdapat 1.7 juta lagi virus yang belum diketahui dalam spesies mamalia dan burung. Fakta paling menggerunkan ialah sehingga 850,000 daripadanya berpotensi menjangkiti manusia.
Walaupun pakar termasuk WHO memberi jaminan awal wabak Hantavirus di Kepulauan Canary tidak akan merebak secara meluas, ia tetap menjadi peringatan bahawa dunia sangat terdedah kepada ancaman pandemik.



