JOHOR BAHRU – Tindakan melabel keputusan Barisan Nasional (BN) Johor yang bersedia bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu pengkhianatan adalah tidak benar dan hanya mengelirukan rakyat.
Setiausahanya, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, realiti politik Johor tidak sama dengan konteks kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan negeri Johor hari ini dibentuk hasil mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 diterajui oleh BN dan semua Exco Kerajaan Negeri adalah daripada BN.
“Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor bukan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan. Mereka memainkan peranan semak dan imbang di dewan negeri dan peranan itu tetap dihormati.
“Maka, di mana letaknya pengkhianatan apabila BN mahu mempertahankan mandat rakyat, kekuatan sendiri dan rekod pentadbiran yang telah dibuktikan,” soalnya dalam kenyataan.
Abdul Halim menegaskan, BN Johor tidak mengkhianati sesiapa.
“Dalam demokrasi, bertanding bukan pengkhianatan kerana yang menentukan akhirnya ialah rakyat Johor,” ujarnya.
Pada Sabtu, BN Johor mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.
Pada PRN Johor 2022, UMNO-BN menang 40 daripada 56 kerusi manakala PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi dan PKR serta Amanah pula masing-masing satu kerusi.
PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua dan Pas pula satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.



