Snek biskut tebuan tanah

Snek biskut tebuan tanah

Omachi, Jepun: Snek Jibachi Senbei mula menjadi perhatian pada pertengahan 2010-an apabila ahli kelab peminat tebuan tanah yang dikenali sebagai Omachi Jibachi Aikokai bekerjasama dengan pengusaha kedai roti tempatan untuk menghasilkan snek unik itu.

Memetik laporan Oddity Central, idea itu diterjemahkan secara langsung dengan menghasilkan snek (senbei) yang diisi dengan tebuan tanah kering.

Tebuan dilaporkan mempunyai kandungan protein yang tinggi berbanding serangga lain yang boleh dimakan.

Namun, perkara itu bukanlah faktor utama ia dimakan, sebaliknya keunikan dan kelainannya yang menjadi tarikan.

Snek yang mengandungi puluhan tebuan hitam kering mungkin kelihatan kurang menyelerakan bagi sesetengah orang, namun Jibachi Senbei kekal dianggap sebagai snek unik di Jepun khususnya dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Bagi menghasilkan snek tebuan itu, ahli kelab peminat tebuan tanah warga emas dari Omachi Jibachi Aikokai memasang perangkap di dalam hutan sebelum merebus dan mengeringkan tebuan yang ditangkap.

Serangga yang diproses itu kemudian diserahkan kepada pengusaha kedai roti tempatan untuk diadun menjadi snek. Ia dikatakan mempunyai rasa manis seperti buah manakala serangga keringnya pula memberikan rasa yang menyerupai kismis yang terbakar.

Spesies tebuan yang digunakan untuk menghasilkan Jibachi Senbei ialah Vespula flaviceps atau Kurosuzume bachi, sejenis tebuan tanah yang selamat dimakan oleh manusia, namun tidak semestinya dianggap sebagai makanan istimewa yang lazat.

Bau yang terhasil sebaik sahaja bungkusan snek unik ini dibuka dikatakan menyerupai bau makanan ikan sekali gus menjadikannya kurang menarik bagi sesetengah pengguna.

Snek Jibachi Senbei yang berasal dari Jepun ini boleh didapati di pasar tempatan dan kedai runcit terpilih di bandar berkenaan, malah terdapat pelancong yang sanggup datang semata-mata untuk mencubanya sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top