Washington: Juri di Chicago mengarahkan syarikat Boeing membayar pampasan AS$49.5 juta (kira-kira RM232 juta) kepada keluarga seorang wanita yang terkorban dalam nahas pesawat Boeing 737 MAX milik Ethiopian Airlines pada Mac 2019.
Juri pada lewat Rabu memutuskan untuk memberikan pampasan kepada keluarga Samya Stumo sebanyak AS$21 juta (kira-kira RM99 juta) bagi pengalaman ngeri yang dialami mangsa dalam penerbangan maut itu.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan bayaran sebanyak AS$16.5 juta (kira-kira RM77 juta) bagi kehilangan teman dan AS$12 juta (kira-kira RM56 juta) untuk kesedihan yang ditanggung keluarga.
Keputusan itu adalah penghakiman juri kedua berkaitan nahas maut berkenaan selepas juri lain mengarahkan Boeing membayar lebih AS$28 juta (RM131 juta) kepada keluarga seorang pekerja alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November lalu.
Syarikat penerbangan itu berdepan puluhan saman sivil susulan dua nahas maut membabitkan model pesawat Boeing 737 MAX di Indonesia dan Ethiopia, masing-masing pada 2018 serta 2019, yang mengorbankan keseluruhan 346 orang.
Stumo, 24, yang bekerja dengan organisasi bukan untung ThinkWell adalah antara penumpang dalam penerbangan dari Habsyah ke Nairobi.
Dalam kes berkenaan, Boeing tidak mempertikaikan liabiliti manakala tuntutan ganti rugi punitif terhadap eksekutif syarikat serta pengeluar komponen pesawat dilaporkan sudah digugurkan.
Bagaimanapun, barisan peguam yang mewakili keluarga Stumo kini membuat rayuan di mahkamah untuk mengembalikan semula tuntutan ganti rugi punitif berkenaan.
Syarikat pengeluar pesawat dari Amerika Syarikat (AS) itu dilaporkan sudah menyelesaikan lebih 90 peratus daripada puluhan saman sivil berkaitan dua nahas kemalangan berkenaan dengan membayar pampasan berbilion dolar melalui penyelesaian luar mahkamah, perjanjian tanpa pendakwaan dan bayaran lain.
“Walaupun kami sudah menyelesaikan hampir semua tuntutan ini melalui penyelesaian luar mahkamah, keluarga mangsa berhak meneruskan tuntutan mereka melalui proses mahkamah dan kami menghormati hak itu,” kata pihak Boeing pada Khamis.
Mac lalu, mahkamah rayuan AS mengekalkan keputusan yang meluluskan ketetapan Jabatan Kehakiman (DOJ) untuk menggugurkan kes jenayah terhadap Boeing, sekali gus membolehkan syarikat itu mengelak daripada didakwa atas pertuduhan yang berkaitan dua nahas pesawat Boeing 737 MAX.
© New Straits Times Press (M) Bhd




