Tutup pagar sekolah untuk bendung masalah pelajar ponteng – EXCO

Tutup pagar sekolah untuk bendung masalah pelajar ponteng – EXCO

am@hmetro.com.my

Melaka: Keputusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai menutup pintu pagar sekolah pada jam 7.30 pagi bukan bertujuan menghukum pelajar, sebaliknya bagi menangani masalah ponteng dan kelewatan yang membimbangkan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu turut mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selepas sekolah berkenaan merekodkan kehadiran paling rendah berbanding 35 sekolah menengah di daerah Jasin.

Menurutnya, sekolah terbabit hanya mencatatkan purata kehadiran sebanyak 90.27 peratus berbanding sekolah lain yang merekodkan kehadiran melebihi 99 peratus.

“Pengetua yang berkhidmat lebih dua tahun di sekolah berkenaan mengambil pendekatan lebih tegas selepas mendapati terdapat 12 pelajar yang kerap datang lewat ke sekolah.

“Daripada jumlah itu, seorang pelajar Tingkatan Dua, lima pelajar Tingkatan Tiga, empat pelajar Tingkatan Empat dan dua pelajar Tingkatan Lima dikenal pasti sering hadir lewat ke sekolah.

“Oleh itu, keputusan menutup pagar pada jam 7.30 pagi bukan dibuat pengetua secara bersendirian, sebaliknya dipersetujui dalam mesyuarat PIBG sekolah” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, langkah itu diambil kerana masalah ponteng di sekolah berkenaan berada pada tahap serius dan memerlukan tindakan lebih tegas bagi memastikan pelajar hadir mengikut waktu ditetapkan.

Menurutnya, sebanyak 1,550 kes ponteng direkodkan sepanjang Januari hingga April lalu dengan purata ketidakhadiran harian melibatkan 23 pelajar.

“Daripada jumlah itu, seramai 429 murid direkodkan tidak hadir antara satu hingga 10 hari, 88 murid tidak hadir antara 11 hingga 20 hari, manakala 14 murid lagi ponteng antara 21 hingga 30 hari.

“Lebih membimbangkan apabila terdapat 19 murid direkodkan tidak hadir ke sekolah melebihi 30 hari,” katanya.

Terdahulu, isu itu tular di aplikasi Threads selepas satu hantaran mendakwa sekolah menghalang pelajar memasuki kawasan sekolah susulan tindakan menutup pagar pada waktu pagi.

Hantaran berkenaan turut memaparkan kain rentang yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan terhadap pengetua sekolah itu kerana didakwa menafikan hak pelajar mendapatkan pendidikan.

Rahmad berkata, pihak sekolah tidak pernah menghalang pelajar untuk belajar, malah sentiasa membuka ruang perbincangan dengan ibu bapa serta pelajar terlibat.

“Guru juga sudah melaksanakan program ziarah cakna ke rumah pelajar yang dikenal pasti kerap ponteng bagi memahami masalah dihadapi mereka.

“Bagaimanapun terdapat segelintir ibu bapa enggan hadir berbincang apabila dipanggil pihak sekolah.

“Jika tiada ketegasan, masalah ponteng dan kelewatan akan terus berlaku serta memberi kesan kepada prestasi pelajar,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap kehadiran anak ke sekolah selain memantau penggunaan gajet dan permainan video yang dipercayai antara faktor utama pelajar ponteng sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top