Bank Muamalat anjur program literasi kewangan di aras 83 Menara Berkembar PETRONAS

Bank Muamalat anjur program literasi kewangan di aras 83 Menara Berkembar PETRONAS

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) mencipta rekod baharu apabila menganjurkan program literasi kewangan di lokasi tertinggi dalam bangunan pencakar langit di Malaysia menerusi inisiatif ‘Jom Bijak Wang’ yang berlangsung di Aras 83, Menara Berkembar PETRONAS, pada ketinggian 358 meter.

Program itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Program Literasi Kewangan Altitud Tertinggi dalam bagunan pencakar langit, sekali gus mencerminkan pendekatan inovatif bank berkenaan dalam memperluaskan pendidikan kewangan kepada komuniti.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimiee Zainal Abiden berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan kewangan terutama dalam aspek pengurusan perbelanjaan dan simpanan.

Katanya, program itu dimulakan daripada peringkat pelajar sekolah sebelum diperluaskan kepada pelajar universiti, sektor pekerjaan serta pelbagai kelompok komuniti yang kurang mendapat akses kepada pendidikan kewangan.

“Kita juga bekerjasama dengan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bagi memperkasakan ilmu kewangan kepada golongan penglihatan terhad kerana mereka antara komuniti yang kurang mendapat pendedahan berkaitan kewangan.

“Tahun lalu, kami mengadakan program bersama persatuan itu termasuk memberi penerangan mengenai penggunaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mempunyai tulisan Braille serta menyediakan dokumen dengan saiz tulisan lebih besar bagi memudahkan mereka membaca,” katanya kepada media di Majlis Program Literasi Kewangan Bank Muamalat di sini, hari ini.

Sebagai rakan usaha sama Financial Education Network (FEN), Bank Muamalat berkata, inisiatif itu selari dengan aspirasi Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 bagi meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Program itu membabitkan 30 pelajar daripada komuniti anak yatim, asnaf dan B40 dengan fokus meningkatkan kefahaman serta kemahiran pengurusan kewangan melalui pendekatan interaktif dan praktikal.

Antara pengisian utama termasuk sesi ‘Jom Bijak Wang bersama Ringgit Rayyan’ yang dikendalikan Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Zaharuddin Alias serta sesi ‘Jom Kenal Perbankan Digital’ oleh wakil ATLAS by Bank Muamalat, Azmeer Nizam.

Program itu turut diserikan dengan sesi interaktif Cabaran Ringgit dan lafaz Ikrar Kewangan sebagai simbol komitmen peserta terhadap amalan kewangan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Bank Muamalat turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada dua rumah kebajikan iaitu Rumah Aman Children’s Home dan Rumah Kasih Harmoni sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Menerusi kerjasama strategik bersama Petrosains, peserta turut dibawa melawat Petrosains, The Discovery Centre bagi memperluas pendedahan dalam bidang STEM selain menghubungkan literasi kewangan dengan pembangunan ilmu masa hadapan.

Sementara itu, Zury Rahimiee berkata, literasi kewangan amat penting ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa kerana ia mengajar masyarakat kembali kepada asas pengurusan kewangan yang betul.

“Melalui kerjasama bersama Petrosains dan beberapa agensi lain, kita mahu mewujudkan konsep pembelajaran menyeronokkan supaya masyarakat lebih tertarik mempelajari ilmu kewangan.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, masyarakat perlu berbelanja secara berhemah, mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta membudayakan simpanan demi kestabilan masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top