Program Bermalam di Muzium suntik penghayatan warisan generasi muda

Program Bermalam di Muzium suntik penghayatan warisan generasi muda

KUALA LUMPUR: Program pendidikan tidak formal, Program Bermalam di Muzium, terus mencuri perhatian apabila memasuki fasa baharu pada 2026 dengan peluasan penyertaan kepada golongan belia institusi pendidikan tinggi (IPT).

Langkah ini sekali gus memperkukuh usaha menjadikan muzium sebagai ruang pembelajaran hidup yang lebih dekat dengan generasi muda.

Program berteraskan pendekatan experiential learning ini memberi peluang kepada peserta memahami sejarah dan warisan negara secara lebih mendalam melalui pengalaman langsung di muzium, berbanding kaedah pembelajaran konvensional.

Pendekatan itu dilihat semakin relevan dalam menarik minat generasi muda terhadap sejarah negara yang lebih interaktif, bermakna dan segar.

Bagi 2026, program ini mencatatkan anjakan penting apabila diperluaskan kepada belia IPT, selaras hasrat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, untuk memastikan belia bawah 30 tahun turut dilibatkan secara langsung dalam ekosistem permuziuman negara.

Sebelum ini, program lebih tertumpu kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah, namun peluasan ini membuka ruang lebih luas kepada penglibatan belia sebagai kelompok penting dalam pembinaan masa depan negara.

Di bawah kepimpinan Aaron, pelbagai pendekatan proaktif dilaksanakan bagi meremajakan institusi muzium agar lebih dinamik, segar dan dekat dengan jiwa generasi muda.

Antaranya termasuk program bersama komuniti di institusi pengajian tinggi, Program Bermalam di Muzium khusus untuk belia serta program inspirasi pelajar dan inovasi muzium yang diperluaskan.

Pada masa sama, inisiatif seperti geran padanan program permuziuman turut menyokong usaha memperkasa institusi muzium di seluruh negara agar terus relevan, mampan dan berdaya saing.

Perkukuh perpaduan

Program Bermalam di Muzium suntik penghayatan warisan generasi mudaPeserta menyertai aktiviti seni kreatif interaktif yang dianjurkan bagi memupuk minat terhadap warisan dan sejarah negara.

Program Bermalam di Muzium Bersama Belia 2026 berlangsung dua hari bermula semalam hingga hari ini di Muzium Negara bersempena Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah, dengan penyertaan 100 belia daripada pelbagai latar belakang.

Penganjuran ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional melalui ruang interaksi yang inklusif dan harmoni, di samping menggalakkan peserta saling memahami perbezaan kaum, agama dan budaya dalam suasana santai, tetapi bermakna.

Pada masa sama, program ini turut berperanan meningkatkan penghayatan terhadap sejarah sebagai asas pembentukan jati diri, semangat kenegaraan dan rasa cinta terhadap tanah air.

Muzium bukan sekadar ruang pameran artifak, sebaliknya berfungsi sebagai platform pendidikan dan perpaduan yang merentas generasi melalui pendekatan penyampaian yang lebih kreatif dan inovatif.

Aaron turut menyeru semua 232 muzium di seluruh negara, merangkumi muzium persekutuan, negeri dan swasta, untuk bersama-sama Jabatan Muzium Malaysia menjayakan penganjuran Program Bermalam di Muzium secara lebih meluas pada Ogos dan September akan datang.

Inisiatif itu menyasarkan penyertaan pelajar sekolah di seluruh negara sebagai usaha memperluas pendedahan awal terhadap sejarah dan warisan negara melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top