Sepang: Tindakan agresif dan menyalahi undang-undang oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) terhadap peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disifatkan sebagai tindakan terdesak, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Beliau berkata ini merupakan kali pertama tindakan agresif, sabotaj serta penculikan peserta dilakukan pada waktu siang dengan kehadiran banyak bot tentera.
“Kali ini kita lihat IOF sangat terdesak. Ini pertama kali dalam misi Sumud Nusantara dan juga Global Sumud Flotilla, kapal kami dipintas pada waktu siang.
“Kita menjangkakan pemintasan berlaku di titik berhampiran perairan Greece dan jangkaan itu tepat. Cuma bezanya, kita menjangkakan ia berlaku pada malam ini, namun mereka hadir dengan banyak bot, menunjukkan proses memindahkan kapal flotila serta delegasi ke kapal tahanan besar di laut sedang dilakukan,” katanya.
Setakat 6 petang tadi, SNCC mengesahkan lapan rakyat Malaysia yang menaiki lima kapal dalam misi berkenaan telah ditahan pihak IOF ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sani Araby berkata kapal yang menyertai misi GSF 2.0 mula dipintas kira-kira 3 petang waktu Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya membuka mata terhadap tindakan IOF yang mencabuli misi kemanusiaan berkenaan yang sedang dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza.
Menurutnya pihak SNCC juga sudah berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Wisma Putra bagi mendesak tindakan segera terhadap intimidasi yang dilakukan IOF.
Beliau berkata pasukan perundangan GSF kini sedang mengumpul bukti pencerobohan dilakukan IOF untuk dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Ditanya mengenai keadaan rakyat Malaysia yang ditahan, beliau berkata pihaknya masih belum menerima maklumat terkini berikutan hubungan komunikasi telah terputus.
“Bagaimanapun, saya sempat berhubung dengan Hareez yang berada di atas kapal Alcyone dan beliau memaklumkan tentera penjajah berada di hadapan, belakang serta di kedua-dua sisi kapal seolah-olah cuba memecahkan kumpulan besar ini kepada tiga kumpulan.
“Saya percaya kali ini mereka mengetahui kita turut menempatkan pasukan peguam untuk mendokumentasikan sebarang kesalahan dilakukan. Sebab itu mereka bertindak mengambil dan menculik wakil-wakil kita untuk dibawa ke kapal mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby menyeru rakyat Malaysia terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




