am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Robot tidak boleh menggantikan manusia,” kata penyanyi Shila Amzah mengenai karya atau lagu yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang hangat diperkatakan penggiat industri seni ketika ini.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata sebagai penyanyi dan pencipta lagu, dia berasa kemudahan teknologi adalah untuk mengiringi bakat sebenar manusia.
“Kemudahan teknologi yang ada seperti AI adalah untuk memperhalusi dan lebih mencantik serta memperkemaskan lagi sesebuah karya.
“Sejujurnya, saya sangat tidak setuju jika penggunaan 100 peratus AI untuk menghasilkan sesebuah karya sebab robot tidak akan boleh menggantikan manusia.
“Dalam masa sama, walau sepantas mana pun atau betapa hebatnya teknologi AI itu, ia tidak dapat menghasilkan karya yang ada emosi dan jiwa seperti manusia,” katanya.
Shila ditemui pada majlis Iseigur Global Strategic Launch 2026 di Seri Kembangan, di sini.
Terdahulu, menerusi hantaran di Threads, penyanyi dan komposer, Zynakal, meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir peminat muzik yang dilihat lebih memberikan sokongan kepada karya berunsurkan AI berbanding karya asli.
Malah, isu karya AI turut mendapat perhatian penyanyi terkenal Yuna yang menegaskan teknologi AI tidak akan mampu menandingi keupayaan manusia dalam menghasilkan karya seni yang mempunyai nilai emosi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




