Wanita maut disyaki terjatuh dari tingkat 17 kondominium

Wanita maut disyaki terjatuh dari tingkat 17 kondominium

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Jalan 18, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mayat mangsa yang berusia lingkungan 50-an ditemui terbaring di bahagian bawah bangunan oleh kakitangan kondominium berkenaan.

Difahamkan, impak kejadian menyebabkan sebelah kaki mangsa terputus dan tercampak ke sebelah bangunan, dipercayai selepas terkena cermin kondominium ketika terjatuh.

Sebuah motosikal yang diparkir berhampiran turut rosak akibat dihempap tubuh mangsa.

Menurut sumber, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 17 kondominium terbabit, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Balai Polis Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian.

Turut berada di lokasi ialah Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan siasatan lanjut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top