Pelakon berbakat, Datuk Adi Putra mendedahkan dia pernah menerima cubaan sogokan mencecah jutaan ringgit sepanjang bergelar anak seni.
Rasuah hingga RM10 juta

Memetik laporan mStar, menurut Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 46, tawaran tersebut bukan berkaitan dunia lakonan, sebaliknya melibatkan urusan lain yang enggan dihuraikannya secara terperinci.
Katanya, terdapat pihak tertentu menggunakan pendekatan melobi dan memujuk bagi mendapatkan kepentingan tertentu untuk diri mereka.
“RM10 juta, RM20 juta pun ada. Sama juga macam filem Konspirasi ini, wang dihantar dari luar negara dengan jumlah besar.
“Tak logik zaman sekarang nak beri RM100 sahaja. Saya percaya perkara itu sudah jadi lumrah,” katanya, pada Isnin.
Dalam masa sama, Adi mengakui cubaan menyogok dirinya bukan berlaku sekali dua, malah menyifatkan situasi berkenaan semakin biasa berlaku ketika ini.
Bagaimanapun, dia menegaskan setiap pemberian akan dinilai terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Ramai yang cuba merasuahkan saya, tapi saya tengok juga perspektif mereka.
“Adakah rasuah itu untuk menghalalkan cara atau sekadar hadiah? Kalau hadiah itu berbeza, tetapi kalau rasuah untuk menghalalkan cara, saya memang tidak akan terima,” ujarnya.
Artikel lain: Adi Putra perjelas penampilan di ABPBH36 – “Saya jadi diri sendiri, janji tutup aurat..”
Walaupun menyedari isu tersebut sensitif untuk diperkatakan, Adi berkata dia memilih untuk berterus terang kerana menganggap perkara itu adalah realiti semasa.
Malah, meskipun berdepan pelbagai tawaran lumayan, dia tetap berpegang teguh pada prinsip hidup yang diamalkan selama ini.
“Saya cakap terus terang sebab inilah realiti zaman sekarang. Banyak perkara berlaku di luar sana dan saya bukan nak ‘spin’.
“Mungkin saya perlu berhati-hati supaya tidak mengguris hati orang lain, tapi di media sosial ramai ‘keyboard warrior’ tidak fikir tentang perasaan orang lain.
“Bagi saya duit itu cuma angka. Walau sebanyak mana pun, ia mudah masuk dan keluar. Tetapi apa yang penting ialah apa yang kita mahu tinggalkan untuk waris dan keluarga,” tambahnya lagi.
Sumber: mStar (Maszuhairah Sarimin)



