SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengharamkan segera model tambang ‘bidding’ dalam industri e-hailing selain menetapkan formula Tambang Dinamik Minimum bagi semua platform perkhidmatan itu.
Gesaan tersebut dikemukakan oleh Sekretariat Rakyat Bertindak (Desak) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) susulan dakwaan tekanan pendapatan yang dihadapi pemandu e-hailing ketika ini.
Ketua Penyelaras Desak merangkap Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula kenaikan kos insurans e-hailing sehingga 178 peratus selain memastikan Akta Pekerja Gig 2025 menangani isu tambang, kos pekerjaan dan tekanan pendapatan pemandu.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat e-hailing, syarikat insurans serta wakil pemandu perlu dipanggil ke meja rundingan khas bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
“Pemandu e-hailing kini dihimpit tiga penjuru. Tambang ditekan melalui sistem ‘bidding’, kos insurans e-hailing meningkat mendadak sehingga 178 peratus dan Akta Pekerja Gig 2025 masih belum memberi jawapan jelas terhadap isu pendapatan, kos operasi dan struktur tambang yang tidak adil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, sistem ‘bidding’ e-hailing bukan persaingan sihat kerana ia membuka ruang kepada pengguna menetapkan harga perjalanan mengikut kehendak sendiri tanpa mengambil kira kos sebenar pemandu.
“Akibatnya, nilai kerja pemandu seolah-olah boleh ditawar-menawar seperti barang murah hingga melahirkan tambang tidak bermaruah kepada pemandu yang menanggung kos, risiko dan beban operasi setiap hari,” katanya.
Ibrahim menegaskan, model sebegitu menjadi punca kepada kerosakan tambang e-hailing kerana ia tidak lagi ditentukan berdasarkan jarak, masa, kos operasi dan risiko perjalanan, sebaliknya ditekan oleh harga paling murah.
Beliau berpandangan, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu, malah berisiko menurunkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan risiko keselamatan.
Katanya lagi, apabila tambang terlalu rendah, pemandu terpaksa mengejar lebih banyak ‘trip’ untuk menampung kos harian, sekali gus meningkatkan tekanan kerja dan keletihan di jalan raya.
“Kerajaan perlu faham pendapatan pemandu e-hailing, khususnya pemandu sepenuh masa bukan sekadar angka kasar dalam aplikasi. Daripada jumlah itulah mereka perlu menanggung kos pekerjaan dan kos sara hidup keluarga.
“Sebagai contoh, Desak menerima aduan lapangan berhubung perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban yang ditawarkan melalui sistem ‘bidding’ sekitar RM44, sedangkan anggaran tambang biasa bagi laluan sama boleh mencecah sekitar RM90 hingga RM120.
“Jurang ini jelas menunjukkan bagaimana sistem ‘bidding’ menekan nilai sebenar perjalanan dan memaksa pemandu beroperasi pada kadar yang tidak munasabah,” ujarnya.
Lebih menghairankan, kata Ibrahim, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 11 Mei 2024 pernah menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah membenarkan pelaksanaan sistem ‘bidding’ dalam industri e-hailing.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini model tersebut masih dilihat terus beroperasi dan menekan pendapatan pemandu.
“Percanggahan ini menimbulkan persoalan serius terhadap tahap penguatkuasaan dasar kerajaan dan peranan agensi kawal selia dalam memastikan arahan serta pendirian kerajaan benar-benar dilaksanakan di lapangan.
“Desak dan Putra turut mempersoalkan mengapa syarikat yang pernah dikaitkan dengan isu pematuhan dan pelanggaran peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) pada 2025 masih terus diberi peluang untuk beroperasi.
“Jika pemandu kecil boleh dikenakan tindakan apabila gagal mematuhi syarat, syarikat platform juga mesti tertakluk kepada standard penguatkuasaan yang sama,” tegasnya lagi.
Dalam masa sama, Ibrahim menegaskan bahawa Akta Pekerja Gig 2025 tidak boleh dijadikan jawapan politik untuk menutup kelemahan dasar tambang e-hailing.
“Kerajaan mesti memilih sama ada mahu benar-benar melindungi pemandu atau terus membiarkan sistem yang menekan pemandu berjalan atas nama teknologi dan pasaran bebas.
“Kepentingan pengguna dan platform juga perlu dipelihara melalui ekosistem e-hailing yang adil, selamat, berkualiti serta tidak menekan mana-mana pihak,” katanya.



