
Prabowo dalam satu majlis bersama rakyat. – Foto Agensi
JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengakui kejatuhan nilai rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) lebih memberi kesan kepada golongan usahawan dan peniaga berbanding rakyat biasa di kampung.
Kenyataan itu dibuat ketika nilai rupiah mencecah sekitar 17,600 rupiah bagi setiap AS$1, paras terendah dalam sejarah moden Indonesia.
“Yang pening itu golongan pengusaha,” kata Prabowo seperti dipetik media tempatan, Suara.com.
Sebelum ini, beliau turut menyatakan penduduk di kawasan kampung tidak menggunakan dolar dalam kehidupan harian mereka sekali gus cuba meredakan kebimbangan terhadap kejatuhan mata wang negara itu.
Bagaimanapun kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat dan pakar ekonomi yang bimbang kesan kenaikan kos import serta inflasi terhadap harga barangan asas.
Pakar ekonomi menegaskan, walaupun rakyat biasa tidak menggunakan dolar secara langsung, kejatuhan rupiah tetap memberi kesan kepada kos makanan, bahan mentah dan keperluan harian kerana banyak produk bergantung kepada import.
Nilai rupiah terus berada di bawah tekanan susulan kebimbangan pelabur terhadap kedudukan fiskal Indonesia dan ketidaktentuan ekonomi global.- Agensi



