BN tanding solo, strategi untungkan DAP? – Annuar

BN tanding solo, strategi untungkan DAP? – Annuar

SHAH ALAM – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka didakwa hanya akan memecahkan undi Melayu serta memberi kelebihan kepada DAP.

Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, mengukur kekuatan parti berdasarkan keputusan PRN lalu adalah satu kesilapan kerana pola sokongan pengundi semasa lebih tepat diukur menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Menurut beliau, keputusan PRU15 menunjukkan BN tewas di Johor dan Melaka berdasarkan pola undi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“PKR mendakwa mereka telah kuasai 32 kerusi DUN pada PRU lalu, manakala di Melaka UMNO cuma menang dua atau tiga kerusi DUN sahaja.

“Apa pun analisis, BN secara solo adalah formula paling pasti memecahkan undi Melayu dan ia strategi tepat memenangkan DAP,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.

Pada Ahad, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan BN akan meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang

Menurut Menteri Besar Johor itu, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama keseluruhan kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang PRN Johor.

Annuar yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mempersoalkan sama ada keputusan BN bergerak solo merupakan strategi pihak tertentu untuk membantu Kerajaan Madani.

Beliau berkata, hanya satu formula dilihat mampu mengubah landskap politik negara ketika ini, iaitu pemeteraian segera Muafakat Nasional antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Muafakat BN-PN perlu dimeterai segera bagi meredakan keadaan politik negara yang semakin berkecamuk,” katanya.

 

Scroll to Top