PKR Kepong gesa jangan politikkan kad janji temu klinik dalam bahasa Mandarin

PKR Kepong gesa jangan politikkan kad janji temu klinik dalam bahasa Mandarin

SHAH ALAM – Isu berkaitan penggunaan bahasa dalam bahan temu janji kesihatan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keselamatan pesakit dan keberkesanan penyampaian maklumat kesihatan awam.

Timbalan Ketua Cabang Keadilan Kepong, Jeremy Ang berkata, beliau mengambil maklum mengenai bantahan yang dikemukakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terhadap Klinik Kesihatan Sri Rampai yang didakwa mengeluarkan buku temu janji kesihatan dalam bahasa Mandarin.

Ujarnya, sebagai salah seorang kontributor yang terlibat secara langsung dalam penggubalan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), isu kesihatan awam tidak wajar dipolitikkan.

“Tanggungjawab utama sektor kesihatan adalah untuk menyelamatkan nyawa dan menyampaikan maklumat perubatan yang tepat, jelas dan berkesan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Buku temu janji KKM berfungsi sebagai instrumen penting dalam memastikan kesinambungan rawatan pesakit. Dalam konteks klinik komuniti seperti Klinik Kesihatan Sri Rampai, pendekatan ini amat penting bagi menyokong kumpulan sasar berisiko,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA ARTIKEL: KKM ambil maklum isu kad janji temu klinik tertera tulisan Cina

Perkasa sebelum ini membantah penggunaan bahasa berkenaan tanpa terjemahan bahasa Melayu selain menyifatkan apa yang berlaku bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan hak rakyat mendapatkan perkhidmatan awam secara adil.

Mengulas lanjut, Jeremy berkata, Malaysia juga tidak bersendirian dalam melaksanakan pendekatan berkenaan.

Ujarnya, negara-negara maju telah lama mengamalkan dasar multibahasa dalam sektor kesihatan bagi memastikan keselamatan pesakit serta kecekapan sistem penjagaan kesihatan:

“Singapura menggunakan empat bahasa rasmi dalam semua kempen kesihatan awam dan bahan literasi hospital bagi mengelakkan jurang maklumat antara etnik, Australia pula menyediakan perkhidmatan penterjemahan yang komprehensif serta bahan kesihatan dalam pelbagai bahasa bagi menjamin akses kesihatan yang saksama

“Amerika Syarikat, melalui Akta Hak Sivil, mewajibkan kemudahan kesihatan yang menerima dana persekutuan menyediakan perkhidmatan akses bahasa bagi mengelakkan kesilapan rawatan yang berpotensi membawa maut

“Sekiranya negara-negara lain dapat menyesuaikan komunikasi demi menyelamatkan nyawa, tidak wajar untuk Malaysia mengambil langkah ke belakang hanya kerana pertimbangan politik yang sempit,” katanya.

Tambah beliau, penyakit, virus dan kecemasan perubatan tidak mengenal kaum, agama atau fahaman politik kerana kegagalan pesakit menghadiri temu janji akibat kekeliruan bahasa boleh memberi implikasi serius, termasuk peningkatan beban kepada sistem kesihatan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perkasa agar menghentikan usaha mempolitikkan isu teknikal di bawah KKM.

“Kesihatan awam bukan ruang untuk polemik politik. Biarlah para profesional kesihatan dan penggubal dasar melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Scroll to Top