SHAH ALAM – Tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bercanggah dengan semangat Rukun Negara serta prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang negara.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, sesuatu yang pelik apabila ada pihak bercakap mengenai ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-Undang’, namun pada masa sama didakwa tidak menghormati peranan Institusi Raja yang turut dijamin Perlembagaan.
“Mereka bercakap seolah-olah sesiapa yang mempertahankan titah Sultan mahu menjadikan Malaysia negara diktator beraja.
“Itu hujah dangkal, mengelirukan dan sengaja dialihkan untuk menutup isu sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang sebelum ini menyatakan rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan secara teliti selaras sistem Raja Berperlembagaan.
Menurut Mohamed Sukri, isu sebenar adalah apabila Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri telah menyatakan pendirian berkaitan sensitiviti agama, keharmonian masyarakat dan kepentingan negeri, namun masih ada pihak terus mempertikaikan serta mempolitikkan perkara itu secara terbuka.
Katanya, prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ yang terkandung dalam Rukun Negara tidak seharusnya sekadar dibaca dalam majlis rasmi, sebaliknya perlu diamalkan dalam kehidupan bernegara.
“Jangan bercakap tentang Keluhuran Perlembagaan jika adab terhadap Raja Berperlembagaan pun gagal dijaga.
“Jangan melaungkan ‘Rule of Law’ jika peranan Raja dalam sistem kenegaraan hanya mahu dihormati ketika memotong reben dan menghadiri istiadat semata-mata,” jelas beliau.
Mohamed Sukri turut mendakwa terdapat pihak yang mahu Institusi Raja hanya berperanan sebagai simbol negara tanpa suara dalam isu melibatkan agama, kestabilan negeri dan keharmonian rakyat.
Menurutnya, Institusi Raja bukan sekadar “rubber stamp”, sebaliknya merupakan tiang seri negara, benteng kestabilan dan payung perpaduan rakyat.
“Kalau benar hormat Perlembagaan, maka hormatilah keseluruhan Perlembagaan, bukan pilih mana yang menguntungkan politik sendiri sahaja,” tegas beliau.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Tony berkata, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.



