MALE – Pihak berkuasa Maldives sedang menyiasat beberapa kemungkinan yang menjadi punca kematian lima penyelam Itali dalam tragedi selaman gua laut minggu lalu, termasuk dakwaan mereka mungkin turun jauh lebih dalam daripada had dibenarkan.
Kumpulan penyelam yang memasuki gua dasar laut itu pada Khamis lalu diketuai Monica Montefalcone, 51, profesor Universiti Genoa dan pakar ekologi marin yang sering melakukan selaman di perairan Maldives di Lautan Hindi.
Anak perempuannya, Giorgia Sommacal turut terkorban bersama ahli biologi Federico Gualtieri, penyelidik Muriel Oddenino dan jurulatih selaman Gianluca Benedetti.

Pasukan Pengawal Pantai Angkatan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Vaavu Atoll.-Agensi
Insiden itu disifatkan sebagai tragedi penyelaman paling buruk dalam sejarah Maldives.
Jurucakap Pejabat Presiden Maldives, Mohamed Hussain Shareef berkata, kerajaan sebenarnya hanya meluluskan permit penyelidikan batu karang lembut di lokasi Devana Kandu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyelam maut ketika cari empat mayat pelancong di gua dasar laut
Misi keluarkan mayat pelancong laut Maldives sebelum dibaham jerung
“Apa yang kami tidak tahu ialah mereka merancang untuk melakukan selaman gua.
“Penyelaman gua adalah disiplin berbeza dengan cabaran dan risiko tersendiri, terutama pada kedalaman seperti itu. Banyak perkara boleh berlaku,” katanya kepada Reuters.
Suami Montefalcone, Carlo Sommacal bagaimanapun mempertahankan isterinya dan menegaskan mangsa merupakan antara penyelam terbaik dunia.
Beliau berkata, isterinya sudah melakukan kira-kira 5,000 selaman dan sentiasa berhati-hati serta tidak pernah cuai.

Mayat empat lagi pelancong Itali yang hilang ketika menyelam di sebuah gua bawah laut di Maldives akhirnya ditemukan pada Isnin. Foto AP
“Saya bukan pakar dan tidak berada di lokasi, tetapi daripada apa yang saya baca, pakar sendiri masih belum mempunyai jawapan pasti dan hanya membuat pelbagai hipotesis,” katanya.
Pada Isnin, penyelam pakar dari Finland berjaya menemukan dua mayat mangsa di dalam sistem gua berkenaan, manakala mayat Benedetti ditemukan di luar gua pada hari mereka dilaporkan hilang.
Rangkaian penyelam, Divers Alert Network Europe yang mengetuai misi pencarian berkata, pasukan mereka menggunakan sistem teknikal canggih termasuk alat pernafasan litar tertutup untuk mengesan mayat mangsa.
Veteran penyelam Maldives, Shafraz Naeem yang pernah meneroka sistem gua Devana Kandu lebih 30 kali berkata, pintu masuk gua itu terletak pada kedalaman kira-kira 55 meter.
Menurutnya, cahaya hanya mampu menembusi ruang pertama gua sebelum keadaan menjadi gelap sepenuhnya.
“Selaman menggunakan udara termampat pada kedalaman seperti ini amat berbahaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Misteri tragedi ‘gua jerung’ Maldives: Pakar dedah beberapa teori punca kematian lima penyelam
Mayat empat pelancong Itali ditemukan dalam ‘gua jerung’ Maldives
“Secara teori, keracunan oksigen boleh mula berlaku sekitar kedalaman 55 meter. Ia sangat berisiko dan sukar dijangka,” katanya.
Semakin dalam seseorang penyelam turun, tekanan di sekeliling akan meningkat dan menyebabkan lebih banyak oksigen memasuki paru-paru serta aliran darah.
Jika pendedahan terlalu tinggi atau terlalu lama, oksigen boleh merangsang sistem saraf secara berlebihan dan merosakkan tisu badan.

Dari kiri, Monica Montefalcone, Muriel Oddenino, Giorgia Sommacal dan Federico Gualtieri.
Namun, bekas jurulatih selaman Muriel Oddenino, Riccardo Gambacorta tidak percaya mangsa maut akibat keracunan oksigen semata-mata.
“Saya percaya mungkin berlaku insiden tidak dijangka di bawah air.
“Mereka mungkin tidak menjangkakan situasi tertentu ketika berada di dalam gua,” katanya.
Mohamed Hussain Shareef berkata, operasi bot yang digunakan kumpulan penyelam itu turut digantung sementara kerana dipercayai tidak memiliki permit sekolah selaman seperti ditetapkan undang-undang Maldives.
Bagaimanapun, pengendali bot MV Duke of York, Abdul Muhsin Moosa berkata, bot itu mempunyai permit bagi aktiviti selaman rekreasi sehingga kedalaman 30 meter.
Katanya, semua penyelam telah diberikan taklimat mengenai had selaman rekreasi di Maldives dan tidak dibenarkan melebihi kedalaman tersebut.

Operasi mencari sebelum ini terpaksa dihentikan sementara selepas seorang anggota penyelam tentera Maldives maut akibat penyakit penyahmampatan ketika menyertai misi menyelamat.
Pakar turut menjelaskan, bagi selaman biasa sehingga 30 meter, penyelam menggunakan udara termampat mengandungi 21 peratus oksigen dan 79 peratus nitrogen.
Namun bagi selaman lebih dalam, kandungan oksigen perlu melebihi 32 peratus selain memerlukan sekurang-kurangnya dua silinder udara khas untuk kedalaman sekitar 50 meter.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat sama ada arus kuat turut memainkan peranan menyebabkan kumpulan itu tenggelam lebih dalam daripada yang dirancang.-Agensi



