DAP sedang rancak laksanakan agenda, dakwa Armada Bersatu

DAP sedang rancak laksanakan agenda, dakwa Armada Bersatu

SHAH ALAM – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kenyataan biadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sebagai sengaja dibuat untuk meneruskan polemik dan krisis meskipun boleh menggugat keharmonian rakyat.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham mendakwa pimpinan DAP dilihat terus mengkritik Institusi Raja Berperlembagaan kerana merasakan mereka berada dalam kedudukan yang kukuh dalam kerajaan ketika ini.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan tiada pemimpin dalam kerajaan Perpaduan yang berani menegur atau menghentikan tindakan yang dilihat mencabar sensitiviti.

ARTIKEL BERKAITAN: Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

‘Cukup-cukuplah kerjasama dengan mereka, titah Sultan pun sanggup diperlekeh’ – Akmal Saleh

Hormati Institusi Raja, jangan pilih Perlembagaan ikut kepentingan politik – Mohamed Sukri

“Armada yakin, DAP akan terus menggasak dan memperlekeh Institusi Raja Berperlembagaan kerana mereka berasa kebal.

“Maka, tidak ada pemimpin Madani yang akan berani menghentikan kebiadapan yang sedang dilakukan DAP sekali pun UMNO dilihat cuba melawan dan mencabar parti itu, tapi itulah hipokrasi mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sayap pemuda Bersatu itu juga turut percaya kedudukan dominan DAP dalam kerajaan memberi ruang kepada mereka melaksanakan pelbagai agenda parti.

“DAP sedang rancak melaksanakan agenda mereka yang mana minggu lalu, Kabinet Madani mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) biarpun ianya bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan malah menjadikan Tahfiz sebagai perisai mempertahankan UEC.

“Justeru, DAP semakin rancak dan berani kerana ketika ini kerana pelbagai agenda mereka berjaya direalisasikan, mereka akan terus mencabar institusi Raja Berperlembagaan dan meneruskan polemik ini kerana agenda seterusnya adalah mengurangkan kuasa Raja-Raja,” dakwanya.

Tony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP pada Selasa mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.

Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.

 

Scroll to Top