IPOH – Angkat Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak memulakan tindakan membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan kenyataan dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan institusi Raja Berperlembagaan.
Ketua Armada Bersatu Perak, Halim Nayan berkata, tindakan tersebut dibuat sebagai tanda bantahan terhadap kenyataan yang disifatkan tidak bertanggungjawab serta melampaui batas sebagai rakyat Malaysia.
Menurutnya, kenyataan berkenaan dilihat cuba mencabar asas penting dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kestabilan negara sejak sekian lama.
“Malaysia bukan negara yang dibina atas emosi politik sempit atau ideologi songsang yang bebas menghina sesuka hati institusi negara.
“Negara ini dibina atas lunas Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta penghormatan kepada institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada keharmonian dan kestabilan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi
Hadir sama Naib Ketua Armada Bersatu Perak, Izwan Yudin Rizal Sham.
Halim berkata, mana-mana pihak yang cuba mengelirukan rakyat sehingga prinsip kesetiaan kepada raja dan negara dipersoalkan mengikut kepentingan politik tertentu merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Katanya, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian terhadap sistem negara manakala demokrasi pula bukan tiket untuk mencabar institusi yang menjadi tunjang kestabilan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak polis agar menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat mengikut Akta Hasutan 1948 serta peruntukan undang-undang berkaitan tanpa kompromi.
Tambah Halim, Armada Bersatu Perak juga memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menormalisasikan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara atas nama kebebasan bersuara.
“Malaysia ada batas, Malaysia ada Perlembagaan dan Malaysia juga mempunyai sistem Raja Berperlembagaan yang perlu dihormati semua pihak.
“Kami di Armada Bersatu Perak akan terus berada di barisan hadapan dalam mempertahankan institusi diraja,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini Armada Bersatu Perak merupakan antara pihak terawal membuat laporan polis berhubung isu tersebut dan tindakan sama dijangka akan disusuli beberapa Armada negeri lain termasuk di peringkat bahagian.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Tony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.



