‘Saya terpaksa cari maksud kaduk naik junjung’, – Tony Pua

‘Saya terpaksa cari maksud kaduk naik junjung’, – Tony Pua

SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membalas sindiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkannya ‘biadab’ dan ‘bagai kaduk naik junjung’.

Menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu berkata, dirinya terpaksa mencari maksud peribahasa tersebut selepas membaca kenyataan Asyraf Wajdi.

Menurut Tony, perumpamaan ‘bagai kaduk naik junjung’ merujuk kepada seseorang daripada golongan hina atau orang biasa yang mendapat pangkat, kedudukan mahupun penghormatan kemudian lupa diri, sombong dan berkelakuan berlebihan.

“Saya terpaksa cari makna peribahasa tersebut. Ah,” katanya ringkas pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

‘Cukup-cukuplah kerjasama dengan mereka, titah Sultan pun sanggup diperlekeh’ – Akmal Saleh

Hormati Institusi Raja, jangan pilih Perlembagaan ikut kepentingan politik – Mohamed Sukri

Hantaran itu dibuat susulan kenyataan Asyraf Wajdi yang mendakwa Tony lupa adab dan batas dengan raja, selain menyifatkannya sebagai biadab.

Sebelum ini, Himpunan Daulat Tuanku pada Sabtu lalu memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar diwujudkan Lembaga Kesetiaan Negara.

Lembaga tersebut berperanan menilai dan mengesyorkan tindakan perlucutan taraf kewarganegaraan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan tindakan biadab, penderhakaan serta penghinaan baik dari segi percakapan, penulisan atau apa jua bentuk perbuatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Lembaga tersebut juga dicadang dianggotai sembilan orang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Susulan itu, Tony pada Selasa mengeluarkan kenyataan bahawa semua rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras sistem raja berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Beliau berkata, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

Bagaimanapun, pada hemat beliau, secara umumnya kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Scroll to Top