Bahasa jadi jambatan komunikasi, bukan tembok penghalang buat pesakit – DAPSY

Bahasa jadi jambatan komunikasi, bukan tembok penghalang buat pesakit – DAPSY

SHAH ALAM – Majoriti rakyat di negara ini sememangnya mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik dan lancar, namun hak untuk memperoleh maklumat kesihatan tepat tidak sepatutnya dinafikan bagi sebahagian kecil masyarakat yang kurang fasih bahasa kebangsaan, tegas Sosialis Muda DAP (DAPSY).

DAPSY menerusi satu kenyataan berkata, etika utama bidang perubatan adalah menyelamatkan nyawa dan dalam soal itu, bahasa sepatutnya menjadi jambatan komunikasi, bukannya tembok penghalang mana-mana pesakit daripada menerima rawatan.

Menurutnya, kebanyakan klinik kerajaan kini mempunyai petugas kesihatan yang mahir dalam pelbagai bahasa ibunda rakyat di negara ini.

Malah, kata DAPSY, ramai doktor dan jururawat berbangsa Melayu juga sering menggunakan istilah asas dalam bahasa ibunda pesakit warga emas demi memudahkan penerangan mengenai keadaan kesihatan.

“Interaksi yang berlandaskan etika perubatan ini bertujuan memastikan ketepatan komunikasi dalam proses diagnosis dan rawatan, sekali gus menjamin hak serta kefahaman pesakit sebaik mungkin.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah fakta yang tidak pernah dipertikaikan sama sekali. Namun, dari segi realiti kehidupan masyarakat majmuk, penggunaan pelbagai bahasa secara praktikal sentiasa wujud dan harus diberi ruang.

“DAPSY berpandangan, pentadbiran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus berjalan lancar dan tidak terjejas selagi laporan perubatan serta rekod rasmi disediakan dalam Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa lain sebagai bahasa tambahan di klinik hanyalah bagi memenuhi keperluan komunikasi yang mendesak,” katanya pada Rabu.

DAPSY turut mengambil contoh pendekatan KKM sewaktu pandemik Covid-19 apabila penggunaan pelbagai bahasa dalam proses saringan dan komunikasi kesihatan dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan usaha memerangi wabak.

Justeru, baginya, dakwaan bahawa penggunaan bahasa lain mencabar kedudukan Bahasa Melayu adalah tidak berasas dan keterlaluan.

Tambah DAPSY, disebabkan faktor sejarah dan latar belakang pendidikan berbeza, sesetengah warga emas bukan sahaja tidak fasih menggunakan Bahasa Melayu moden, malah ada yang tidak mampu menguasai bahasa ibunda mereka dalam bentuk tulisan.

Namun begitu, katanya, golongan tersebut berpuluh-puluh tahun bekerja keras demi menyara keluarga dan turut menyumbang kepada pembangunan negara melalui tenaga kerja serta pembayaran cukai.

“Ancaman sebenar terhadap Bahasa Melayu bukanlah sekeping kad tambahan dalam Bahasa Cina di klinik kerajaan, tetapi sikap segelintir ‘polis bahasa’ yang taasub bermain retorik politik tanpa mengambil kira realiti pelaksanaan di lapangan.

“Golongan ini bukan sahaja tidak menyumbang kepada pemerkasaan budaya dan perkembangan Bahasa Melayu dalam era moden, malah memaksa orang lain menerima stereotaip serta pandangan sempit mereka sendiri.

“Sehubungan itu, kami menyeru pengkritik supaya turun sendiri ke klinik-klinik kerajaan untuk melihat cabaran sebenar dihadapi petugas kesihatan barisan hadapan, bukannya memainkan isu politik di media sosial sehingga menambah beban kepada mereka yang sememangnya sudah sibuk,” ujar DAPSY lagi.

Dalam masa sama, pihaknya menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas dan rasional KKM dalam menjawab persoalan berkaitan kad rekod pemantauan pesakit denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur.

“DAPSY merakamkan setinggi-tinggi pujian kepada KKM kerana menunjukkan profesionalisme dan tahap fleksibiliti pentadbiran yang tinggi dalam menjawab isu tersebut.

“KKM menegaskan dan mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi pada masa sama berpegang kepada prinsip mengutamakan pesakit dalam pelaksanaan tugas. Pendekatan yang menyeimbangkan dasar kerajaan,” jelasnya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, tular satu video di TikTok apabila seorang pengguna media sosial memuat naik rakaman memaparkan tulisan Cina pada kad janji temu pesakit di klinik berkenaan.

Susulan itu, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) dalam kenyataan menjelaskan, berlaku kesilapan tidak disengajakan dalam pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit.

Jabatan tersebut menambah, siasatan mendapati insiden berlaku pada 18 Mei lalu, melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.

Scroll to Top