Manifesto Rafizi ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ – Penganalisis politik

Manifesto Rafizi ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ – Penganalisis politik

KUALA LUMPUR – Manifesto Parti Bersama Malaysia yang dibentangkan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ kerana dilihat terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, 12 agenda yang diketengahkan Rafizi sememangnya kedengaran menarik, namun kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal.

Menurut beliau, manifesto itu dipenuhi sasaran besar tetapi tidak disertakan mekanisme pelaksanaan yang jelas termasuk anggaran kos, sumber pembiayaan serta keutamaan fiskal negara.

“Dalam bidang dasar awam, sesiapa sahaja boleh menyebut mahu bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus, kenaikan gaji tahunan atau penjagaan kanak-kanak universal.

“Namun persoalan utama ialah bagaimana semua itu mahu dibiayai dan dilaksanakan dalam keadaan fiskal negara yang terbatas,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata, cadangan pemberian bantuan bulanan automatik kepada semua isi rumah misalnya akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

“Berapa jumlah bantuan yang mahu diberikan? Siapa yang layak? Jika bersasar, bagaimana mekanisme penilaian dibuat? Berapa kos tahunan kepada kerajaan? Adakah cukai akan dinaikkan atau subsidi lain dipotong? Semua ini tidak dijelaskan,” katanya.

Mashitah turut berpandangan bahawa sasaran pertumbuhan ekonomi dan kenaikan gaji melebihi lima peratus setiap tahun bukan sesuatu yang boleh dicapai hanya menerusi formula di atas kertas.

Katanya, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dipengaruhi pelbagai faktor termasuk produktiviti, pelaburan, perdagangan global, kestabilan politik, keyakinan pasaran, kadar pertukaran mata wang dan struktur industri.

“Malah negara maju sendiri tidak mampu menjamin pertumbuhan tinggi secara konsisten untuk tempoh yang panjang seperti dijanjikan.

“Sebab itu saya melihat manifesto ini seolah-olah menyerupai ‘angan-angan Mat Jenin’ yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, rakyat juga berhak mempersoalkan kredibiliti Rafizi berdasarkan rekodnya ketika memegang portfolio Menteri Ekonomi sebelum ini.

“Jika benar idea-idea ini begitu hebat dan boleh dilaksanakan, mengapa sebahagian besar daripadanya tidak diperjuangkan secara agresif ketika beliau berada dalam Kabinet dan mempunyai akses langsung kepada proses membuat dasar negara?” soalnya.

Menurut Mashitah, sepanjang memegang portfolio ekonomi, Rafizi lebih dikenali dengan pengenalan sistem PADU yang sehingga kini tidak digunakan secara meluas kerajaan walaupun menelan kos besar.

Katanya, reformasi ekonomi berskala besar seperti yang dijanjikan menerusi 12 agenda itu juga tidak dilaksanakan ketika beliau masih berada dalam kerajaan.

“Lebih menarik, ketika beliau masih menjadi Timbalan Presiden atau Naib Presiden PKR, manifesto-manifesto Pakatan Harapan sebelum ini juga tidak menampilkan sebahagian besar idea besar yang kini dibawa.

“Jadi mengapa hanya sekarang semua agenda ini muncul selepas beliau kalah dalam pemilihan parti dan memilih haluan politik baharu?” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika benar agenda seperti bantuan bulanan universal, had pekerja asing lima peratus, pendidikan awal universal, nisbah doktor 1:300, autonomi penuh universiti awam dan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus itu penting untuk negara, ia sepatutnya telah diperjuangkan lebih awal ketika Rafizi berada di kedudukan tertinggi parti.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persepsi bahawa idea yang diketengahkan kini lebih bersifat reaktif dan bermotifkan politik selepas keluar daripada arus kuasa.

“Dalam politik, konsistensi sangat penting. Rakyat akan bertanya sama ada agenda ini benar-benar lahir daripada keyakinan ideologi ataupun sekadar usaha membina identiti politik baharu selepas konflik dalaman parti.

“Ketika berada dalam kerajaan, alasan yang diberikan ialah terikat dengan proses Kabinet, kompromi politik dan kekangan fiskal. Tetapi apabila keluar daripada arus kuasa, pelbagai janji besar mula dikemukakan seolah-olah semuanya boleh diselesaikan dengan mudah,” katanya.

Tambah beliau, semua agenda tersebut hanya boleh dilaksanakan sekiranya Parti Bersama memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan membentuk kerajaan Persekutuan.

“Persoalannya, bagaimana perkara itu mahu dicapai sedangkan Rafizi sendiri mengumumkan parti itu akan bergerak secara solo?

“Dalam sistem politik Malaysia yang berasaskan gabungan, hampir mustahil sebuah parti baharu yang kecil dapat membentuk kerajaan secara bersendirian,” katanya.

Menurutnya, jika Parti Bersama mahu berkuasa, mereka akhirnya tetap perlu bekerjasama dengan parti lain dan membentuk kerajaan campuran.

“Jika itu berlaku, semua idealisme yang sedang dijual hari ini juga tetap akan tertakluk kepada kompromi politik yang sama seperti dialami PH sebelum ini. Jadi, apa bezanya?” katanya.

Scroll to Top