Nahas pesawat 2009: Mahkamah Rayuan Paris dapati Airbus dan Air France bersalah

Nahas pesawat 2009: Mahkamah Rayuan Paris dapati Airbus dan Air France bersalah

Paris: Mahkamah Rayuan Paris pada Khamis mendapati Airbus dan Air France bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kecuaian korporat susulan nahas pesawat Rio-Paris pada 2009 yang mengorbankan 228 penumpang dan anak kapal dalam tragedi udara terburuk di Perancis, lapor Reuters.

Keputusan itu merupakan perkembangan terbaharu dalam perbicaraan panjang melibatkan dua syarikat paling berpengaruh di Perancis serta keluarga mangsa yang kebanyakannya rakyat Perancis, Brazil dan Jerman.

Waris sebahagian daripada 228 penumpang dan kru yang terkorban apabila pesawat Airbus A330 itu hilang dalam kegelapan ketika ribut di Lautan Atlantik hadir mendengar keputusan mahkamah selepas 17 tahun perjuangan undang-undang bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi udara terburuk di Perancis itu.

Mahkamah mengarahkan kedua-dua syarikat membayar denda maksimum bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat kecuaian korporat iaitu €225,000 (AS$261,720) setiap satu, selaras dengan permohonan pihak pendakwa semasa perbicaraan selama lapan minggu.

Pada 2023, mahkamah rendah membebaskan kedua-dua syarikat itu yang berulang kali menafikan pertuduhan berkenaan.

Denda maksimum itu yang hanya bersamaan beberapa minit hasil pendapatan syarikat, disifatkan ramai sebagai hukuman simbolik.

Namun keluarga mangsa menyatakan sabitan itu tetap penting sebagai pengiktirafan terhadap penderitaan mereka.

Peguam di Perancis menjangkakan rayuan lanjut ajab dibuat ke mahkamah tertinggi negara itu, sekali gus berpotensi memanjangkan lagi proses perundangan.

Penerbangan AF447 hilang daripada radar pada 1 Jun 2009 dengan penumpang dari 33 negara berada di dalam pesawat.

Kotak hitam ditemukan dua tahun kemudian selepas operasi pencarian di dasar laut.

Pada 2012, penyiasat Biro Siasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam (BEA) mendapati kru pesawat menyebabkan pesawat itu hilang daya angkat selepas tersalah mengendalikan masalah berkaitan sensor yang diselaputi ais.

Bagaimanapun, pihak pendakwa memberi tumpuan kepada dakwaan kegagalan dalam kedua-dua syarikat pengeluar pesawat dan syarikat penerbangan itu, termasuk latihan yang tidak mencukupi serta kegagalan mengambil tindakan susulan terhadap insiden terdahulu.

Bagi membuktikan kesalahan menyebabkan kematian akibat kecuaian, pihak pendakwa bukan sahaja perlu membuktikan syarikat terbabit cuai, malah menunjukkan bagaimana kecuaian itu membawa kepada nahas berkenaan.

Di bawah sistem perundangan Perancis, prosiding rayuan tahun lepas melibatkan perbicaraan baharu sepenuhnya dengan bukti dikaji semula dari awal.

Sebarang rayuan lanjut selepas keputusan Khamis itu akan mengalihkan tumpuan daripada apa yang berlaku di kokpit AF447 kepada sudut perundangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top