Dituduh selebriti sombong, Mira Filzah mohon maaf enggan ulas

Dituduh selebriti sombong, Mira Filzah mohon maaf enggan ulas

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya minta maaf sangat. Saya ada alasan tersendiri (untuk tidak komen). Minta maaf sangat.”

Itu jawapan ringkas pelakon dan pengacara, Mira Filzah apabila diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa individu di Threads, melabelkannya sebagai selebriti sombong.

Mira, 33, ketika ditemui di acara sambutan ulang tahun ke-10 jenama Cakenis berkata, dia tidak mahu memberi sebarang komen bagi mengelakkan isu berkenaan semakin berlarutan.

“Sejujurnya, saya tak nak memberi komen apa-apa mengenai perkara itu sebab sudah lama berlalu. Saya bimbang, saya risau, kalau saya memberi komen lagi, benda itu akan bertambah atau berpanjangan. Saya minta maaf sangat.

“Tetapi apa yang saya boleh cakap, sebab hari ini media sosial sangat berleluasa. Jadi apa-apa pun, saya dan kita semualah khususnya, kena lebih berhati-hati sahajalah,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia sedar dan kerap menggunakan platform media sosial itu, Mira tidak menafikan bahawa Threads adalah platform yang positif jika digunakan dengan cara yang betul.

“Saya jarang buka Threads. Saya gunakan medium Threads kalau contohnya nak tanya pasal sinus, nak pergi bercuti dan sebagainya sebab Threads sebenarnya sangat berfungsi apabila berkaitan informasi yang baik.

“Tetapi untuk buka setiap hari, dia bukanlah macam saya buka Instagram ke apa, saya jarang buka Threads,” katanya.

Meskipun menjadi korban media sosial, Mira juga tidak menafikan bahawa media sosial adalah medium penting untuk kebanyakan orang khususnya golongan pempengaruh.

“Zaman sekarang adalah era di mana media sosial itu rasanya salah satu kepentingan kepada semua orang. Terutamanya kepada saya, kepada pencipta kandungan, kepada KOL, itu adalah profil dan platform.

“Jadi, ia bergantung kepada individu macam mana kita nak kawal apa yang kita tunjukkan dan apa yang kita simpan. Mungkin privasi kita,” katanya.

Terbaharu, Mira baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem dan kini memberi tumpuan kepada jenamanya sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top