am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Jika anak saya masih hidup, dia pasti sangat gembira kerana impian yang ditunggu sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.”
Demikian kata Wah Tee Tun, bapa yang anak lelakinya berusia 18 tahun, Wah Han Keong, maut dalam kemalangan ngeri di Kuala Terengganu Selasa lalu.
Juruelektrik berusia 49 tahun itu berkata, keluarganya mengetahui hari ini bahawa Han Keong telah diterima masuk ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).
“Pagi ini, saya menyemak permohonannya menerusi Unit Pusat Universiti (UPU). Keputusan itu menyatakan anak saya diterima untuk melanjutkan pengajian di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun, Terengganu.
“Dia memang teringin sangat menyambung pengajian di politeknik. Itulah yang ditunggunya selama ini,” kata bapa kepada dua anak.
Tee Tun berkata, jenazah anaknya dibawa pulang ke Kelantan semalam untuk upacara pembakaran mayat di Tokong Buddha Ariyakiri di Bachok.
“Upacara pembakaran mayat selesai kira-kira jam 6 petang semalam.
“Hari ini, kami membawa abu mayat Han Keong ke Wat Kampung Tanggol di Terengganu untuk upacara sembahyang dan ritual keagamaan terakhir,” katanya.
Remaja itu maut dalam kemalangan ngeri di Manir, Kuala Terengganu, apabila sebatang tiang elektrik merempuh cermin hadapan van yang dinaiki mangsa bersama bapanya.
Kejadian itu turut menyebabkan bapanya trauma selepas menyaksikan kecederaan parah yang dialami anaknya dalam kemalangan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




