Iran pulih kekuatan tentera lebih cepat daripada dijangka

Iran pulih kekuatan tentera lebih cepat daripada dijangka
Iran pulih kekuatan tentera lebih cepat daripada dijangka

Seorang anggota pasukan sukarelawan Basij di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi tunjuk ajar mengenai cara mengendalikan raifal gaya Kalashnikov dalam sesi latihan senjata di Tehran, Iran pada 19 Mei 2026.- Agensi

TEHERAN – Iran dilaporkan sedang memulihkan keupayaan ketenteraannya lebih pantas daripada jangkaan termasuk memulakan semula pengeluaran dron selepas perang dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan CNN.

Pegawai AS dipetik berkata Teheran mungkin mampu memulihkan sepenuhnya keupayaan ketenteraan sebelum perang dalam tempoh hanya enam bulan.

Laporan itu turut mendakwa Iran berjaya mempercepat proses pemulihan dengan bantuan Rusia dan China termasuk bekalan komponen peluru berpandu dari Beijing sejak perang tercetus pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, Kementerian Luar China menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan laporan itu tidak berasaskan fakta.

Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan Washington bahawa Iran masih mampu menjadi ancaman besar sekiranya konflik kembali tercetus di Asia Barat.

Dalam masa sama, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata Teheran sedang meneliti cadangan terbaharu AS bagi menamatkan perang sambil mengulangi tuntutan supaya aset Iran yang dibekukan dibebaskan serta sekatan laut AS ditamatkan.

Ketua Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir dijangka berada di Teheran pada Khamis bagi mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Iran sebagai sebahagian usaha mediasi konflik.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi amaran rundingan damai kini berada di “peringkat genting” antara mencapai perjanjian atau menyaksikan perang kembali meletus.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pula menuduh Washington masih mempunyai agenda ketenteraan tersembunyi dan memberi amaran Iran akan bertindak balas secara keras sekiranya diserang semula.

Sementara itu, Iran turut mengumumkan pewujudan zon kawalan maritim di Selat Hormuz yang memerlukan koordinasi serta kebenaran khas bagi kapal yang mahu melalui kawasan strategik tersebut.

Langkah itu bagaimanapun dibantah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap kedaulatan maritim negara itu.

Perang antara Iran dengan Israel dan AS bermula pada penghujung Februari lalu sebelum gencatan senjata dimeterai pada 8 April.-Agensi

Scroll to Top