asmaini@mediaprima.com.my
JIKA melihat profil kerjaya Catherine Lim Tsuey Tyng, pasti ramai yang terpegun.
Siapa sangka, wanita yang memulakan karier sebagai jururawat biasa kira-kira 29 tahun dahulu, kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pakar Tawakkal, Kuala Lumpur.
Namun, yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.
Perjalanan wanita kelahiran Muar, Johor ini bukan mudah dan beliau mengakui kedudukannya hari ini adalah hasil pengorbanan, komitmen, usaha serta cinta yang tidak berbelah bahagi kepada bidang kesihatan.
Ibu kepada dua anak itu berkata, minat terhadap bidang kesihatan bermula apabila selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia diterima menyertai program diploma kejururawatan di sebuah kolej swasta di ibu negara tajaan Hospital Pakar Ampang Puteri.
Katanya, dia memilih bidang pengajian berkenaan kerana tertarik dengan jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Sebaik tamat pengajian pada 1997, saya bekerja di hospital terbabit sebagai jururawat selama lebih tujuh tahun sebelum dinaikkan pangkat kepada jururawat kanan selama setahun, kemudiannya dilantik menjadi Pengurus Unit.
“Daripada Pengurus Unit kemudian ditugaskan sebagai ‘Area Manager’ sebelum sekali lagi bertukar ke bahagian penilaian dan pemeriksaan klinikal (clinical surveyor).
“Pada 2012, saya ditugaskan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kejururawatan (DCNO) dan bertugas lebih lima tahun,” katanya.
Menurut Catherine lagi, pada 2017 dia ditukarkan ke Hospital KPJ Sentosa sebagai Pengurus Operasi dan bertugas di sana sehingga dilantik sebagai CEO di Hospital Pakar Tawakkal pada Julai tahun lalu.
Kata Catherine yang juga anak tukang kayu, beliau terhutang budi dengan pengurusan syarikat yang memberikannya peluang berkenaan.
Pengalaman pernah berada di akar umbi dan kini di bahagian pengurusan tertinggi juga menyebabkan beliau menyedari bahawa tidak semua tugasan ‘perlu mengikut buku 100 peratus’.
Ini kerana, katanya, bidang penjagaan kesihatan serta perubatan dahulu dan masa kini tidak sama, justeru cara pengurusan juga perlu berbeza.
Justeru, beliau sentiasa mengingatkan dirinya bahawa tanpa seseorang CEO, hospital masih boleh berjalan seperti biasa, namun jika tiada kakitangan terutama jururawat, operasi tidak akan dapat berjalan seperti sepatutnya.
“Semua pengalaman itu banyak mempengaruhi gaya kepimpinan saya hari ini, ada ketika perlu bertolak ansur dan ada masa perlu juga tegas.
“Saya berharap dapat menjadi pemimpin yang bukan sahaja tahu memimpin dan dihormati, malah mudah didekati, mempunyai empati dan adil kepada semua,” katanya yang berazam untuk mengembangkan lagi operasi hospital berkenaan pada masa hadapan.
Sepanjang perjalanan kariernya, Catherine sentiasa percaya bahawa peluang ada di mana-mana sahaja.
Pada masa sama, beliau turut percaya pengalaman akan lebih berguna jika ia digabungkan dengan ilmu pengetahuan bagi meningkatkan lagi kemahiran diri.
Kata beliau, melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda contohnya, boleh memberi peluang yang lebih luas kepada jururawat berbanding jika hanya memiliki diploma sahaja.
“Melalui gabungan pengalaman dan ilmu pendidikan, anda sebagai jururawat boleh ke mana sahaja, tidak terhad di Malaysia semata-mata kerana terdapat banyak permintaan di negara luar.
“Peluang banyak dan terbuka luas, anda hanya perlu berani untuk merebutnya sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Catherine berkata, Malaysia sememangnya memiliki banyak keistimewaan tersendiri untuk menarik kunjungan ramai pelancong termasuk pelancongan kesihatan.
Katanya, keharmonian kepelbagaian kaum, agama serta budaya turut menjadi aset penting kepada negara.
“Selain itu, keyakinan terhadap kepakaran doktor dan jururawat tempatan, kualiti rawatan bertaraf antarabangsa serta layanan mesra berteraskan nilai murni masyarakat Malaysia turut menjadikan negara ini pilihan utama pelancong kesihatan dari seluruh dunia.
“Kedudukan ini secara tidak langsung membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara kita, termasuk kepakaran profesional kesihatan dan kemudahan rawatan yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Catherine mengakui, tanggungjawabnya memimpin lebih 750 kakitangan di hospital itu menuntut banyak komitmen dan masa daripadanya.
Namun, beliau tidak berkompromi waktu untuk bersama dengan keluarga dan berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri serta ibu dengan sebaiknya.
Akui Catherine, jika tiada urusan mustahak, hari minggu adalah waktu yang dikhaskan untuk bersama dengan keluarganya.
“Jika ada masa terluang pula, kami sekeluarga gemar melancong ke luar negara atau pulang ke negara kelahiran suami.
“Selain dapat membantu menghilangkan tekanan kesibukan kerja harian, melancong juga membuka mata untuk lebih menghargai apa yang ada di negara sendiri,” katanya mengakhiri perbualan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




