Konflik geopolitik: Tekanan ekonomi suku ketiga Malaysia dijangka lebih mencabar

Konflik geopolitik: Tekanan ekonomi suku ketiga Malaysia dijangka lebih mencabar
Konflik geopolitik: Tekanan ekonomi suku ketiga Malaysia dijangka lebih mencabar

Tekanan ekonomi negara dijangka menjadi lebih mencabar pada suku ketiga tahun ini sekiranya konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global terus berlarutan. Gambar hiasan. Gambar kecil: Nuradli Ridzwan Shah

SHAH ALAM – Tekanan ekonomi negara dijangka menjadi lebih mencabar pada suku ketiga tahun ini sekiranya konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global terus berlarutan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, meskipun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia masih berada pada tahap positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar empat hingga lima peratus serta kadar inflasi rendah antara 1.5 hingga 2.5 peratus, faktor luaran mampu memberi tekanan kepada ekonomi domestik.

Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik dunia telah menyebabkan gangguan terhadap perdagangan dan bekalan bahan mentah, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai sektor industri.

“Kenaikan kos bahan mentah akan menyebabkan margin keuntungan syarikat semakin mengecil sebelum kos tambahan itu dipindahkan kepada pengguna.

“Bila margin syarikat semakin kecil, mereka terpaksa memindahkan kenaikan kos kepada pengguna melalui kenaikan harga barang dan kesan itu berlaku secara berantai, bermula daripada syarikat seterusnya dirasai rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Nuradli Ridzwan Shah menegaskan, Malaysia berisiko berdepan kekurangan bekalan antaranya beras dan daging sekiranya negara pengeksport mengambil langkah mengehadkan eksport masing-masing.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan masalah kekurangan bekalan lebih ketara berbanding isu kenaikan harga semata-mata.

“Jadi masalahnya bukan disebabkan harga naik tetapi bekalan tidak mencukupi. Itu yang akan menimbulkan tekanan kepada pengguna.

“Oleh itu kerajaan perlu meningkatkan pemantauan harga barang serta memperkukuh stok penimbal makanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan.

“Selain itu KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) perlu memantau harga dan melihat syarikat-syarikat yang terkesan secara bersasar,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak melakukan pembelian panik kerana ia boleh memburukkan keadaan.

Scroll to Top