Washington: Skuad kebangsaan Congo perlu menjalani pengasingan selama 21 hari sebelum dibenarkan memasuki Amerika Syarikat bagi menyertai Piala Dunia 2026, susulan kebimbangan terhadap penularan wabak Ebola di negara tersebut.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat memaklumkan bahawa skuad berkenaan ketika ini perlu kekal berada dalam ‘bubble’ di Belgium, lokasi mereka menjalani latihan, sebelum dibenarkan ke Houston.
Andrew Giuliani, Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas White House untuk Piala Dunia, menegaskan langkah itu perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pemain, penyokong dan rakyat Amerika.
“Kami sudah jelaskan bahawa mereka perlu mengekalkan bubble selama 21 hari sebelum dibenarkan masuk ke Houston pada 11 Jun,” katanya kepada ESPN.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi prosedur berkenaan boleh menyebabkan skuad Congo tidak dibenarkan memasuki negara itu bagi kejohanan berkenaan.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), wabak Ebola di Republik Demokratik Congo setakat ini merekodkan puluhan kes sah serta kematian, selain ratusan kes disyaki.
Skuad Congo yang layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah dijadual berpangkalan di Houston sepanjang kejohanan, dan akan memulakan aksi kumpulan menentang Portugal pada 17 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




