puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tabung kutipan yang dibuka oleh pengacara versatil, Datuk Aznil Haji Nawawi bagi membantu anak kepada pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam, berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM137,127.90 dalam tempoh lebih 50 jam.
Aznil, 64 atau mesra disapa Pak Nil berkongsi perkara itu di Podcast (Audio Siar) Kita Kita Aje di saluran YouTube, tepat jam 10.40 malam tadi.
Dalam hantaran yang sama, Pak Nil turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga pelakon berkenaan.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan ada dari luar Malaysia juga yang menyumbang. Semoga Allah membalas budi baik anda semua dengan seribu kerahmatan. Amin,” tulisnya menerusi hantarannya di Facebook.
Menurut Pak Nil, dia akan memindahkan kesemua wang simpanan yang telah terkumpul itu ke akaun peribadi Amyza dengan kadar segera.
Dalam pada itu, Aznil turut memaklumkan bahawa kutipan berkenaan masih dibuka buat sementara waktu sebelum ia ditutup secara rasmi pada bila-bila masa sahaja.
“Yang masih mahu menyumbang, silakan sebelum Pak Nil tutup tabung ini secara rasmi bila-bila masa. Terima kasih dari lubuk hati Pak Nil,” tulisnya lagi.
Terdahulu, sejak Rabu lalu, Pak Nil mengosongkan akaun bank peribadinya demi melancarkan tabung kutipan bantuan buat anak kedua Amyza, Adrian yang kini sedang bertarung dengan kanser tulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




