am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Menyasarkan tayar dan rim kereta model Perodua yang diletakkan di luar kolej jururawat di sini.
Itu tindakan kumpulan penjenayah yang mencabut dan melarikan rim dan tayar beberapa kenderaan pada waktu malam hingga awal pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada 15 Mei dan 18 Mei lalu membabitkan dua kenderaan.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa kejadian kecurian komponen kenderaan membabitkan kereta yang diparkir di luar kawasan Kolej Jururawat Kuala Pilah, di sini.
“Kes bermula pada 18 Mei lalu apabila pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan rim beserta tayar membabitkan dua kereta yang diparkir di kawasan parkir luar kolej berkenaan,” katanya semalam.
Jelas beliau, kawasan itu didapati gelap dan sunyi pada waktu malam kerana tiada lampu jalan serta tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Tambah beliau, salah satu laporan yang dibuat membabitkan kereta model Perodua Bezza.
“Mangsa mendapati keempat-empat roda hilang kira-kira jam 7 pagi, 18 Mei lalu selepas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp.
“Siasatan turut mendapati sebuah lagi kereta Perodua Axia SE yang diparkir di lokasi sama turut mengalami kehilangan keempat- empat tayar beserta rim.
“Pemilik kenderaan ini memaklumkan kenderaan diletakkan dalam keadaan berkunci dan baik kira-kira jam 7.45 malam 15 Mei lalu sebelum mendapati tayar keretanya hilang pada 18 Mei,” katanya.
Jelasnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
“Anggaran kerugian yang dialami kedua-dua mangsa adalah sekitar RM2,000. Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah atau Pegawai Penyiasat Sarjan Shamsuldalila Mohammad di talian 011-10129038,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




