MB Perlis bubar DUN jika ada undi tak percaya -“Saya orang politik, tak kenal erti takut”

MB Perlis bubar DUN jika ada undi tak percaya -“Saya orang politik, tak kenal erti takut”

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memberi bayangan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini.

Keputusan perlu dibuat jika ada perkara tak diingini berlaku

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, beliau menyatakan, keputusan itu terpaksa dibuat sekiranya berlaku perkara tidak diingini melibatkan kestabilan kerajaan negeri.

“Namun sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini (undi tidak percaya) saya tidak ada pilihan (bubarkan DUN). Jika berlaku dan mungkin berlaku, saya membuat keputusan dan tidak ada pilihan terpaksa bubarkan DUN.
“Jika ada unsur-unsur membuat undi tidak percaya semasa sidang DUN nanti, kita bubar, apa masalah, bagi saya orang politik, tidak pernah kenal erti takut,” katanya.

Menurut Abu Bakar, kerajaan Perikatan Nasional Perlis terbentuk hasil peralihan kuasa kerajaan negeri dan sebelum ini Raja Perlis turut mengamanahkan supaya kerajaan sedia ada dipertahankan selepas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.

Kelmarin, Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan PN termasuk dalam kemelut politik di Perlis.

Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan akan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan susulan.

Sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung awal Jun depan dijangka menjadi tumpuan susulan kemungkinan enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar.

Sebelum ini, enam ADUN Pas diketuai Mohd Shukri Ramli menuntut penjelasan berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung pada April lalu.

Nafi penangguhan kerana takut digulingkan

Walau bagaimanapun, Abu Bakar menafikan penangguhan tersebut berlaku kerana beliau takut digulingkan dan menegaskan kerajaan PN Perlis masih kekal utuh.

“Kita di dalam PN Perlis terus mengekalkan persaudaraan dan apa pun, perkembangan politik dari masa ke semasa boleh berubah.
“Bagaimanapun, Perlis sentiasa kekal dalam kerajaan PN,” katanya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau sewaktu ditemui selepas majlis perasmian Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026, semalam.

Scroll to Top