Kekal sihat setiap fasa kehidupan

Kekal sihat setiap fasa kehidupan

Penuaan sering hadir tanpa disedari. Ia bermula dengan langkah yang sedikit perlahan, penglihatan yang kian kabur atau perut yang mudah tidak selesa.

Perubahan ini tampak kecil, namun boleh memberi kesan besar kepada rutin harian jika dibiarkan tanpa perhatian.

Walaupun ramai menganggapnya sekadar lumrah usia, hakikatnya sebahagian besar perubahan ini boleh diurus dan dirawat dengan pendekatan yang betul.

Dengan penjagaan kesihatan menyeluruh, warga emas masih mampu menjalani kehidupan yang aktif, berdikari dan berkualiti.

Kunci utama ialah memahami perubahan tubuh serta bertindak lebih awal sebelum masalah menjadi lebih serius.

Penuaan sihat bukan bermakna memperlahankan kehidupan, sebaliknya memahami keperluan tubuh yang berubah.

Bagi kebanyakan warga emas, keupayaan bergerak tanpa kesakitan menjadi antara cabaran utama yang memberi kesan kepada kualiti hidup.

Kekal sihat setiap fasa kehidupan

Perunding Pakar Bedah Ortopedik dari Hospital Columbia Asia Petaling Jaya, Dr Gayathri Arumugam, berkata apabila usia meningkat, ‘kusyen’ pada sendi lutut atau rawan akan semakin haus secara semula jadi.

Kekal aktif untuk kesihatan sendi

Keadaan ini boleh menyebabkan kekakuan, sakit, bengkak serta rasa tidak stabil pada lutut.

“Lutut boleh menjadi lemah dan kurang stabil dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau, langkah paling asas untuk menjaga kesihatan lutut ialah kekal aktif.

Aktiviti berimpak rendah seperti berjalan, berenang dan berbasikal dapat membantu mengekalkan kesihatan sendi tanpa memberi tekanan berlebihan.

Selain itu, senaman pengukuhan otot paha seperti angkat kaki lurus atau squat ringan juga penting untuk menyokong kestabilan lutut.

Pengawalan berat badan turut memainkan peranan besar dalam mengurangkan beban pada sendi.

Namun, dalam kes tertentu, rawatan lebih lanjut diperlukan termasuk pembedahan penggantian sendi lutut atau Total Knee Replacement (TKR), khususnya apabila kesakitan menjadi teruk dan mengganggu aktiviti harian.

“Biasanya ia dipertimbangkan apabila pesakit mengalami osteoartritis tahap lanjut dan tidak lagi bertindak balas terhadap ubat, fisioterapi atau suntikan,” jelasnya.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit boleh mula berjalan dalam tempoh satu hingga dua hari selepas pembedahan, manakala pemulihan untuk kembali ke aktiviti harian mengambil masa sekitar empat hingga enam minggu.

Pembedahan katarak

Selain pergerakan, penglihatan juga antara aspek penting dalam kehidupan warga emas. 

Keupayaan melihat dengan jelas bukan sahaja memudahkan aktiviti harian, malah membantu mengekalkan kebebasan diri.

Pakar Perunding Oftalmologi dari Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Fatin Nadia Zamawi, berkata penuaan boleh menyebabkan penglihatan men­­­jadi kabur dan lebih sensitif terhadap silau, khususnya jika individu mengalami katarak.

“Katarak adalah proses penuaan normal dan tidak boleh dicegah. Namun ia boleh dirawat dengan berkesan,” katanya.

Menurut beliau, diagnosis hanya boleh dilakukan melalui pemeriksaan mata penuh oleh pakar oftalmologi.

“Pembedahan ini adalah prosedur kecil secara rawatan harian. Pesakit biasanya melihat peningkatan dalam beberapa hari, dan pemulihan penuh mengambil masa sehingga empat minggu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan individu berumur 50 tahun ke atas supaya menjalani pemeriksaan mata secara berkala, terutama jika mengalami simptom seperti penglihatan kabur atau silau.

Usah abai kesihatan usus

Dalam pada itu, kesihatan usus sering kurang diberi perhatian walaupun memainkan peranan penting dalam kesejahteraan keseluruhan.

Perubahan pada sistem pencernaan tidak harus dipandang ringan, lebih-lebih lagi jika berlarutan atau mengganggu rutin harian.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Columbia Asia Puchong, Dr Cheong Kuan Loong, berkata peningkatan usia membawa pelbagai perubahan semula jadi termasuk sistem pencernaan.

Antaranya ialah pergerakan usus yang menjadi lebih perlahan, meningkatkan risiko sembelit dan pedih ulu hati.

Penghasilan asid perut serta enzim juga berkurangan, sekali gus menjejaskan penyerapan nutrien penting seperti vitamin B12, kalsium dan zat besi.

“Jika berlarutan, ia boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, kelemahan otot dalam sistem pencernaan juga boleh berlaku, termasuk refluks asid dan masalah kawalan najis. 

Perubahan mikrobiom usus serta divertikulosis turut menjadi lebih lazim dalam kalangan warga emas.

Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian ialah penurunan berat badan tanpa sebab, hilang selera makan, perubahan tabiat buang air besar, darah dalam najis serta sakit perut berpanjangan.

“Jika simptom berlarutan lebih satu hingga dua minggu, pemeriksaan segera perlu dilakukan,” tegas beliau.

Bagi mengekalkan kesihatan usus, pengambilan makanan tinggi serat, air mencukupi, aktiviti fizikal dan pengurusan tekanan amat digalakkan.

Probiotik seperti yogurt dan kimchi juga membantu keseimbangan bakteria baik. Dalam aspek diagnosis, teknologi moden seperti kolonoskopi kini digunakan untuk pengesanan awal penyakit usus.

Sementara itu, prosedur gastroskopi pula dianggap selamat, hanya mengambil masa lima hingga 15 minit dan dilakukan dengan sedasi bagi keselesaan pesakit.

Kesihatan ketika usia meningkat memerlukan perhatian menyeluruh merangkumi pergerakan, penglihatan dan sistem pencernaan.

Dengan gaya hidup sihat, pemeriksaan berkala dan rawatan awal, warga emas masih mampu menikmati kehidupan yang aktif dan berkualiti.

“Jangan tunggu hingga terlambat. Lebih awal dikesan, lebih baik hasil rawatan,” tegasnya.

Hospital Columbia Asia komited dan sangat mengambil berat mengenai rawatan awal bagi gaya hidup sihat warga emas dengan pelbagai teknologi terkini dan pakar-pakar di hospital yang berpengalaman.

Sempena ulang tahun ke-30, Columbia Asia sedang menawarkan promosi kesihatan warga emas berkaitan kesihatan lutut, mata, sistem penghadaman serta saringan kesihatan. Tawaran berakhir 30hb Jun.

Untuk keterangan lanjut tentang tawaran pakej warga emas Columbia Asia, layari laman web https://www.columbiaasia.com/malaysia/ atau https://www.columbiaasia.com/30yearsofcare/

30 Years of Care. A Lifetime of Trust. Right Here for You.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top