harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pemandu yang dikatakan mabuk dan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh beberapa kenderaan lain di Jalan PJU 8/1 Damansara, di sini, ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas lelaki berusia 20-an itu didapati negatif penggunaan dadah dan alkohol berlebihan.
Menurutnya, kejadian berpunca daripada suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V yang tidak berhenti lampu isyarat merah.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian bertembung dengan kereta Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 20-an, jam 12.27 tengah malam.
“Kemalangan menyebabkan penumpang Perodua Bezza, seorang wanita berusia 20-an cedera.
“Suspek ditahan di perkarangan IPD Petaling Jaya, kerana memandu secara melulu.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan di Mahkamah Petaling Jaya, esok” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu dan Seksyen 323 Kanun Kanun Keseksaan.
Shamsudin berkata, saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sivam Muniandy di talian 0379662222.
Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video dan gambar memaparkan kekecohan berlaku apabila seorang pemandu dikatakan mabuk melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh sebuah kenderaan lain.
Dalam hantaran itu, pemandu yang melanggar lampu isyarat terbabit dikatakan tidak berpuas hati malah bertindak menyerang mangsa yang dilanggar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




