Skim Agrobank x FAMA sasar bantu 1,000 usahawan tani

Skim Agrobank x FAMA sasar bantu 1,000 usahawan tani

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 usahawan tani disasarkan menerima manfaat menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM100,000 bagi memperkukuh sektor agromakanan tempatan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim yang menawarkan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun itu dirangka bagi membantu usahawan tani memperkukuh operasi perniagaan serta meningkatkan daya tahan kewangan mereka.

“Skim ini dirangka khas bagi membantu pertumbuhan usahawan tani, khususnya dalam memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan daya tahan kewangan serta mengembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Skim tersebut dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pasar Tani Taman Melawati pada Jumaat menerusi kerjasama strategik antara Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Inisiatif itu merangkumi kemudahan pembiayaan, penabungan, perlindungan takaful, transaksi digital dan latihan keusahawanan percuma berkaitan pengurusan kewangan serta pemasaran.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, Agrobank komited menyediakan kemudahan pembiayaan yang relevan dan inklusif kepada komuniti agromakanan selaras dengan peranannya sebagai institusi kewangan pembangunan yang memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Ahmad Badli Shah (tengah) menyantuni penjaja di Pasar Tani Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Ahmad Badli Shah (tengah) menyantuni penjaja di Pasar Tani Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, permohonan skim tersebut dibuka sehingga 31 Disember 2026, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

“Sebanyak 500 pelanggan terawal yang layak dan memohon skim ini akan menerima manfaat pembiayaan mikro bersama barangan eksklusif Agrobank,” ujarnya.

Jelasnya, Agrobank turut menyediakan 200 unit DuitNow QR SoundBox secara percuma kepada pelanggan terpilih bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan usahawan tani dan peniaga kecil.

“Langkah ini dapat memudahkan pengesahan bayaran secara lebih cepat dan selamat selain meningkatkan penggunaan DuitNow QR Agrobank,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama bersama FAMA itu diharap dapat memberi impak langsung kepada usahawan tani melalui akses pembiayaan yang lebih mudah dan patuh syariah.

Tambah beliau, inisiatif tersebut juga mampu memperkukuh daya tahan perniagaan mikro serta menyokong pertumbuhan sektor agromakanan negara secara lebih inklusif dan mampan.

 

 

Scroll to Top