Piala Malaysia: Johor isytihar cuti peristiwa Isnin ini sempena kejayaan JDT

Piala Malaysia: Johor isytihar cuti peristiwa Isnin ini sempena kejayaan JDT

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan negeri mengumumkan hari Isnin ini sebagai Cuti Peristiwa bagi seluruh Johor sempena kejayaan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2025/26, malam tadi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan cuti itu dibuat atas perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, dengan ini Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk mengisytiharkan hari Isnin, 25 Mei 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi Negeri Johor sempena kejayaan JDT merangkul Piala Malaysia 2025/26,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan itu berjaya menewaskan Kuching City FC dengan keputusan 2-0 dalam aksi final yang penuh semangat dan mendebarkan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas kepimpinan dan komitmen berterusan baginda dalam memartabatkan bola sepak Johor sehingga JDT terus melonjak di persada dunia.

“Sesungguhnya, kemenangan ini adalah hadiah buat seluruh Bangsa Johor dan penyokong JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan, dalam suka dan duka, di setiap perlawanan, di setiap musim.

“Terima kasih juga kepada barisan pemain, jurulatih, pengurusan pasukan dan seluruh keluarga besar JDT atas kejayaan yang cukup membanggakan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top