firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menyimpan trofi Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut apabila meranapkan impian Kuching City FC dengan kemenangan 2-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam tadi.
Kejayaan itu juga adalah yang keenam buat JDT sejak 2017 namun paling manis sudah tentunya kepulangan semula Arif Aiman Hanapi dalam aksi kemuncak itu dengan dia sendiri meledak satu gol selepas tidak beraksi selama 186 hari akibat kecederaan.
Aksi final yang diadili empat pengadil import dari Qatar nyata berjaya mengawal aksi dengan sempurna tanpa banyak kontroversi, sekali gus perlawanan berlangsung lebih lancar, terkawal dan kompetitif sehingga kedua-dua pasukan dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap permainan.
Walaupun JDT lebih banyak menguasai permainan, Kuching City nyata bukan lawan mudah apabila berjaya menyerap tekanan selain beberapa kali mencemaskan kubu Harimau Selatan.
Peluang terbaik JDT hadir seawal minit kesembilan menerusi penyerang berbisa, Bergson da Silva namun percubaannya berjaya dihalang cemerlang penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli yang pantas mendepa tangan dan dada untuk menafikan jaringan lawan.
Dua minit kemudian, Bergson sekali lagi meledak bola ke dalam gawang Kuching City hasil hantaran kemas daripada Manuel Hidalgo, namun jaringan itu dibatalkan selepas pengadil mengesan penyerang import skuad Harimau Selatan itu menggunakan tangan ketika mengawal bola.
Anak didik Aidil Sharin Sahak hampir mengejutkan penyokong JDT pada minit ke-19 menerusi Ramadan Saifullah yang menerima hantaran baik daripada João Pedro, namun tolakan pemain tengah itu sedikit tersasar ketika gawang sudahpun ternganga luas.
Ramadan terus menjadi duri dalam daging buat JDT apabila sekali lagi menguji gawang lawan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-32.
Bagaimanapun, Syihan Hazmi bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menepis percubaan berbahaya itu sekali gus memastikan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Xisco Munoz yang mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut terlebih dahulu menguji kem The Cats apabila Óscar Arribas melepaskan rembatan pada minit ke-50, namun percubaannya tepat ke dakapan Haziq.
Tiga minit kemudian, Haziq sekali lagi muncul wira Kuching City apabila bertindak cemerlang menepis rembatan deras Bergson yang hampir memecah kebuntuan buat Harimau Selatan.
Drama semakin memuncak pada minit ke-61 apabila Kuching City dihadiahkan sepakan penalti selepas Corbin Ong menarik Ramadan di dalam kotak penalti dan pengadil, Mohammed Ahmed Al-Shammari tidak teragak-agak menunjuk ke titik putih, sekali gus memberi peluang terbaik untuk mendahului permainan.
Namun, Ramadan gagal menyempurnakan sepakan penalti itu apabila mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan wakil Sarawak berkenaan di depan.
Sorakan penyokong JDT bergema apabila kelibat Arif Aiman dimasukkan sebagai pemain gantian dipertengahan babak kedua yang amat dirindui aksinya.
Gol yang dicari akhirnya menjelma di minit 80 yag diraih JDT menerusi jaringan pemain import, Marcos Guilherme apabila melambungkan bola tepat ke penjuru atas untuk menewaskan Haziq.
Arif Aiman turut mencetak nama apabila dia meledak gol kedua di masa kecederaan untuk mengesahkan kejuaraan berpihak JDT.
© New Straits Times Press (M) Bhd




