
Laporan turut menyebut 13 daripada mangsa yang maut merupakan ahli keluarga yang sama. Foto hiasan
DAKAR – Sekurang-kurangnya 28 orang maut selepas sebuah lombong emas yang beroperasi secara haram runtuh di Angola, menurut polis pada Sabtu.
Kesemua mangsa lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Bengo, timur laut ibu negara Luanda, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kemalangan dilaporkan berlaku di kampung Canacassala, kira-kira 60 kilometer dari Luanda.
Kesemua mangsa dipercayai sedang menjalankan aktiviti melombong emas secara haram di kawasan itu ketika lombong berkenaan runtuh.
Laporan turut menyebut 13 daripada mangsa yang maut merupakan ahli keluarga yang sama.
Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa lain atau mangsa yang terselamat.
Menurut kerajaan wilayah, kejadian itu merupakan kemalangan maut pertama yang diketahui berkaitan aktiviti perlombongan emas haram di wilayah berkenaan. – Bernama



