1.2 tan minyak masak bersubsidi dirampas, lelaki ditahan selepas diekori 30 km

1.2 tan minyak masak bersubsidi dirampas, lelaki ditahan selepas diekori 30 km

nfazlina@nstp.com.my

Bachok: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas lebih 1.2 tan minyak masak bersubsidi selepas menahan seorang lelaki di Jalan Hulu Masjid Pauh Lima, Kampung Pauh 5, di sini, semalam.

Suspek berusia 43 ditahan jam 3.20 petang selepas pasukan operasi Op Tiris Bersepadu mengekori kenderaan dinaiki lelaki itu sejauh 30 kilometer (km).

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN, Aswadi Jaafar, berkata hasil pemeriksaan menemui 1.2 tan minyak masak bersubsidi pelbagai jenama disyaki untuk tujuan penyelewengan.

“Anggota bertugas mengekori sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora hampir 30 km bermula dari kawasan Tok Bali sebelum berjaya menahannya di Bachok.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku tinggal berhampiran kawasan sempadan dan terbabit dalam aktiviti berkenaan, namun mendakwa ini adalah kali pertama dia ditahan pihak berkuasa.

“Nilai rampasan minyak masak termasuk kenderaan dianggarkan mencecah lebih RM13,000 dan kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi dijalankan KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Pasir Puteh

Aswadi menegaskan, KPDN Kelantan akan terus memperkukuh risikan serta operasi bersepadu bersama agensi strategik lain, khususnya di kawasan sempadan dan laluan panas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top