Guan Eng tidak setuju syarat 50 peratus ekuiti Bumiputera dalam lupus tanah

Guan Eng tidak setuju syarat 50 peratus ekuiti Bumiputera dalam lupus tanah
Guan Eng tidak setuju syarat 50 peratus ekuiti Bumiputera dalam lupus tanah

Guan Eng menggesa Anwar membatalkan peningkatan syarat tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini.

SHAH ALAM – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Penasihat DAP itu, peningkatan syarat daripada 30 peratus kepada 50 peratus dilihat sebagai satu perubahan dasar yang perlu diteliti semula.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan peningkatan syarat tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini.

“Dasar-dasar dalam Garis Panduan Pemerolehan Hartanah (PAG) ini telah dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan terdahulu tanpa sebarang pindaan.

“Peningkatan pemilikan ekuiti bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus oleh kerajaan semasa bukan sahaja menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong PH.

“Tetapi juga menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan ini mungkin akan melakukan perkara yang sama terhadap instrumen dasar dan pengaturan pentadbiran lain,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Guan Eng dalam masa sama turut menegaskan bahawa pendekatan berasaskan pasaran perlu diberi perhatian agar urus niaga komersial tidak terlalu dibebankan dengan syarat yang terlalu ketat sehingga boleh memberi implikasi terhadap kelancaran transaksi.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan bahawa perubahan dasar secara mendadak tanpa kajian menyeluruh boleh menimbulkan persepsi tidak konsisten dalam dasar ekonomi negara, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan pihak berkepentingan.

Scroll to Top