razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Kalau boleh gantikan tempat anak untuk menanggung sakit ini, saya sanggup,” kata Tuan Nur Athirah Tuan Mahyuddin, 35, yang merayu bantuan membeli mesin penyedut lendir mudah alih bernilai RM3,540 untuk anaknya yang mengalami masalah kesihatan serius sejak lahir.
Athirah berkata, mesin berkenaan amat penting untuk membantu anak bongsunya, Muhammad Adib Fayyadh, 2, yang kini bergantung sepenuhnya kepada tiub khas iaitu trakeostomi di lehernya untuk bernafas.
Katanya, mesin yang digunakan sejak lebih dua tahun lalu itu kini tidak lagi mampu berfungsi dengan baik untuk menyedut kahak yang menyekat saluran pernafasan anaknya.
“Adib hanya bernafas 20 peratus melalui hidung, manakala 80 peratus lagi melalui lubang trakeostomi di leher. Kalau kahak tak dapat disedut, dia memang sukar bernafas.
“Mesin ini memang wajib ada bersama Adib, ke mana saja termasuk ketika berada di hospital,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Athirah berkata, dia pernah berdepan detik cemas apabila mesin tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga anaknya mengalami sesak nafas ketika berada di dalam kereta.
Menurutnya, Adib turut menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga selain beberapa masalah kesihatan lain sehingga perlu menjalani enam pembedahan sejak lahir.
“Sebenarnya, Adib dijadualkan menjalani pembedahan ketujuh pada Mei lalu, namun terpaksa ditangguhkan sehingga September kerana kami belum mampu mendapatkan mesin baharu untuk keselamatannya sepanjang rawatan,” katanya.
Menurut Athirah, sebelum ini, dia berniaga untuk meringankan beban suami, namun terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Adib yang memerlukan pemantauan rapi setiap masa.
“Suami pula baru dapat kerja baharu selepas diberhentikan kerja sebelum ini. Pendapatan memang tak menentu sebab dia perlu cuti tanpa gaji untuk bawa Adib menjalani pemeriksaan dua atau tiga kali sebulan di hospital.
“Pelbagai usaha dilakukan termasuk memohon bantuan daripada beberapa pihak namun sehingga kini mereka masih belum menerima bantuan untuk membeli mesin berkenaan,” katanya
Athirah berkata, setakat ini mereka hanya berjaya mengumpul kira-kira RM1,500 hasil sumbangan kenalan dan baki hampir RM2,000 lagi masih diperlukan bagi membeli mesin berkenaan.
Orang ramai yang ingin menyumbang untuk pembelian mesin ini boleh berbuat demikian di akaun Maybank bernombor 164285611836 atas nama Tuan Nur Athirah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




