Jawatankuasa khas tangani jenayah penipuan dalam talian – Fahmi

Jawatankuasa khas tangani jenayah penipuan dalam talian – Fahmi
Jawatankuasa khas tangani jenayah penipuan dalam talian – Fahmi

Fahmi berkata, jawatankuasa ini akan melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa, badan kawal selia, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi serta platform digital bagi memastikan tindakan lebih bersepadu dapat dilaksanakan. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas bertujuan memperkukuh kerjasama antara agensi bagi menangani jenayah penipuan dalam talian di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa, badan kawal selia, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi serta platform digital bagi memastikan tindakan lebih bersepadu dapat dilaksanakan.  

Menurut beliau, langkah itu susulan peningkatan kes penipuan dalam talian yang bukan sahaja merugikan rakyat, malah semakin kompleks dengan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).  

“Pada tahun 2025, rakyat Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM2.7 bilion akibat jenayah penipuan. Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM1.2 billion wang yang cuba dicuri sindiket penipuan berjaya disekat oleh mekanisme keselamatan institusi kewangan.

“Kita lihat satu jawatankuasa wajar dibentuk supaya kerjasama yang bersepadu dan berterusan dapat diwujudkan antara agensi penguat kuasa, badan kawal selia, syarikat telekomunikasi dan juga bank,” katanya.  

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 di sini pada Ahad.  

Selain itu, Fahmi memaklumkan, satu nota Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu bagi memaklumkan hasil permukiman berkenaan termasuk cadangan penubuhan jawatankuasa itu.  

Menurut Fahmi, kerajaan turut memberi perhatian terhadap aspek sokongan psikologi kepada mangsa penipuan yang mengalami trauma akibat kehilangan wang simpanan hidup.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya segera menghubungi talian 997 milik National Scam Response Centre (NSRC) sekiranya menjadi mangsa penipuan dalam talian selain tidak menyewakan akaun bank kepada pihak ketiga bagi mengelakkan menjadi akaun keldai. – Awani

Scroll to Top