am@hmetro.com.my
Parit Buntar: “Sebelum adik keluar ke Cameron Highlands pagi tadi, arwah ibu sempat pesan suruh beli strawberi sebab teringin nak makan, namun tidak kesampaian.”
Itu luahan pilu Muhammad Zikri Sahbuddin, 31, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Telok Medan, Bagan Serai, petang tadi.
Dalam kejadian pada jam 4.42 petang itu Sahbuddin Bakar, 65 dan isterinya Noraziyah Jahari, 51, maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan Toyota Innova yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.
Muhammad Zikri berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian itu dari seseorang yang datang ke rumahnya yang memaklumkan kejadian menimpa ayah dan ibunya.
“Pagi tadi saya sempat memaklumkan pada ibu untuk membawanya keluar jalan-jalan petang ini sebab kebiasaannya setiap hujung minggu kami keluar.
“Waktu itu ibu sedang masak dan saya pula baru habis kerja dan minta untuk tidur sekejap. Tak lama lepas itu ibu maklum kata nak keluar dengan ayah sekejap tapi tak dimaklumkan ke mana,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Parit Buntar, malam ini.
Menurutnya sewaktu sedang tidur seseorang datang dan memaklumkan ibu dan dan ayahnya terbabit kemalangan dan dia terus tergamam di hadapan pintu rumah.
“Saya dan dua lagi adik tak mampu berkata apa-apa kerana masih terkejut dengan apa yang dimaklumkan.
“Paling saya terkilan apabila ibu sempat memesan buah strawberi kepada adik pagi tadi kerana teringin nak makan.
“Ibu juga berhasrat nak makan daging dendeng masa hari raya Aidiladha nanti dan saya sudah pun membelikannya,” katanya.
Tambahnya lagi dia dan keluarga akan berbincang kemudian sama ada untuk membawa perkara ini ke mahkamah atau sebaliknya bagi menuntut keadilan.
Jenazah suami isteri itu kini berada di Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan pada esok hari di Masjid dan Tanah Perkuburan Masjid Titi Serong.
Sahbuddin adalah seorang pesara kerajaan dan berkhidmat sebagai pemandu ambulans Klinik Kesihatan Kedai 4, Titi Serong sekitar 10 tahun lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Jafri Md Zain dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat berikutan pemandu Toyota Innova itu dirawat di hospital berikutan mengadu sakit dada akibat dari kemalangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




