3 maut bot jatuh di pelantar minyak: 'Arwah janji mahu temankan saya bersalin anak kedua, dia sudah tiada'

3 maut bot jatuh di pelantar minyak: 'Arwah janji mahu temankan saya bersalin anak kedua, dia sudah tiada'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Ya, yang maut dalam insiden itu adalah suami saya.” Demikian kata Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil, 28, yang tidak dapat menahan sebak selepas mengesahkan suaminya antara mangsa maut dalam tragedi latihan pemindahan kecemasan menggunakan bot di sebuah pelantar minyak di luar pesisir Terengganu-Pahang, tengah hari tadi.

Wanita yang sedang sarat mengandung hampir lapan bulan itu berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, adalah pagi tadi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pagi tadi dia hantar mesej WhatsApp ucap selamat pagi dan saya balas seperti biasa.

“Malam tadi pula kami sempat membuat panggilan video sebelum tidur,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), malam ini.

Menurutnya, dia masih belum menerima maklumat terperinci mengenai kejadian yang menimpa suaminya.

Katanya, apa yang lebih meruntun perasaannya apabila arwah sebelum ini berjanji mahu mengambil cuti panjang bagi menemaninya bersalin anak kedua mereka tidak lama lagi.

“Paling saya sedih apabila arwah pernah berjanji mahu ambil cuti panjang untuk teman saya bersalin anak kedua. Saya sangat terkilan kerana dia sudah tiada,” katanya.

Pasangan itu menetap di Bukit Setongkol, Kuantan dan mempunyai seorang anak perempuan, Nur Hawa Dawisya yang kini berusia setahun enam bulan.

Nurkhaeryna berkata, dia bersama ahli keluarga tiba di Kuala Terengganu kira-kira jam 7.15 malam selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari tadi, tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit kemalangan ketika menjalani latihan pemindahan kecemasan menggunakan bot keselamatan tertutup (lifeboat) di sebuah pelantar minyak di kawasan luar pesisir Terengganu-Pahang.

Difahamkan, semua mangsa berada di dalam bot terbabit sebelum tali yang menyokongnya tiba-tiba putus menyebabkan bot berkenaan jatuh dari ketinggian kira-kira empat meter.

Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan syarikat pengendali pelantar minyak berkaitan kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top