Bangunan runtuh di Filipina: Dua rakyat Malaysia terkesan, seorang disahkan selamat – Wisma Putra

Bangunan runtuh di Filipina: Dua rakyat Malaysia terkesan, seorang disahkan selamat – Wisma Putra

Putrajaya: Kementerian Luar mengesahkan dua rakyat Malaysia terkesan dalam insiden bangunan runtuh di Bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina pada Ahad.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan seorang mangsa disahkan selamat, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mendapatkan maklumat sahih bagi memastikan status seorang lagi rakyat Malaysia.

“Kedutaan Besar Malaysia berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau keadaan rakyat Malaysia yang disahkan selamat serta mengesahkan status dan lokasi seorang lagi rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, segala usaha sedang dijalankan untuk menghubungi dan mengesan waris terdekat kedua-dua individu terbabit,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, operasi menyelamat sedang dijalankan bagi mencari individu yang dikhuatiri terperangkap.

Katanya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian umum +63 286628200, nombor kecemasan (selepas waktu pejabat) +63 961 0778113 atau e-mel di mwmanila@kln.gov.my.

“Kementerian menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden ini,” katanya.

Media melaporkan seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh awal Ahad di Bandar Angeles. Sebanyak 24 mangsa dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top